Cari:  
  Dari:   Hingga:  
  Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti menyiasat AB Fund kerana aktiviti pelaburan Internet haram
12/06/2007
 
 
 

Bank Negara Malaysia dalam operasi bersama dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Polis Diraja Malaysia telah membuat serbuan terhadap AB Fund kelmarin, 11 Jun 2007, kerana disyaki menjalankan aktiviti pengambilan deposit haram dan pelaburan haram melalui laman webnya www.abfund.us dan www.abfundtrader.biz.

Bank Negara Malaysia sedang menjalankan siasatan terhadap AB Fund kerana disyaki mengambil deposit secara haram dan menjalankan aktiviti pengubahan wang haram, yang masing-masing merupakan kesalahan di bawah subseksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Banking And Financial Institutions Act, BAFIA) dan subseksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

AB Fund juga tidak dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti untuk memberikan nasihat pelaburan yang berkaitan dengan sekuriti atau aktiviti niaga hadapan, dan juga tidak mempunyai lesen untuk menjalankan aktiviti pengurusan dana di Malaysia, seperti ditetapkan di bawah Seksyen 14 dan 15A Akta Industri Sekuriti 1983 (Securities Industry Act) dan Seksyen 16A Akta Industri Hadapan 1993 (Futures Industry Act).

Jika sabit kesalahan, pengendali pengambilan deposit haram boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM10 juta, atau kedua-duanya sekali. Bagi kes kesalahan yang berterusan, pengendali berkenaan akan dikenakan denda harian sehingga RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan.
Sesiapa yang disabitkan dengan kesalahan pengubahan wang haram akan dikenakan denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa yang disabitkan dengan kesalahan memberikan nasihat pelaburan yang berkaitan dengan sekuriti atau aktiviti niaga hadapan, atau menjalankan aktiviti pengurusan dana tanpa lesen boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti akan mengambil segala langkah untuk membanteras aktiviti pelaburan haram termasuk tindakan penguatkuasaan terhadap pengendali dan ejen laman web pelaburan haram.

Bagi melindungi kepentingan orang ramai, mereka diingatkan supaya mendepositkan wang dan melabur hanya dengan pihak yang dilesenkan oleh pihak berkuasa supaya mereka dilindungi di bawah undang-undang perbankan dan sekuriti negara. Senarai kesemua institusi berlesen terdapat di laman web Suruhanjaya Sekuriti di www.sc.com.my, dan laman web Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my.

Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti menggesa orang ramai supaya sentiasa berhati-hati apabila melabur dengan syarikat tempatan atau asing yang menawarkan peluang pelaburan. Orang ramai hendaklah mengelakkan daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab yang menjanjikan pelabur dengan pulangan pelaburan yang sangat lumayan.

Orang ramai dinasihati supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa berkenaan dengan segera tentang mana-mana laman web, e-mel atau maklumat di Internet yang berkaitan dengan aktiviti pengambilan deposit serta janji dan perkhidmatan pelaburan yang mencurigakan. Mereka boleh menghubungi Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti di:

Bank Negara Malaysia
Tel: 03-2691 0824 / 2692 6482 / 2698 2810 / 2694 2143
Faks: 03-2698 7467
E-mel: info@ bnm.gov.my

Jabatan Aduan, Suruhanjaya Sekuriti
Tel: 03-6204 8999 / 03-6204 8777
Faks: 03-6204 8991
E-mel: aduan@ seccom.com.my

BANK NEGARA MALAYSIA DAN SURUHANJAYA SEKURITI


© Bank Negara Malaysia, 2007. All rights reserved.