Cari:  
  Dari:   Hingga:  
  Respon daripada Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak untuk soalan yang diajukan oleh Y.B. Tuan Lim Lip Eng (Segambut) di Dewan Rakyat pada 16 November 2009 mengenai langkah menyelesaikan isu kenderaan berusia 10 tahun dan ke atas yang tidak dapat membeli insurans kecuali polisi Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) di pejabat pos yang premiumnya lebih mahal
19/11/2009
 
 
 

Jawapan:

  • Keengganan penanggung insurans untuk menawarkan perlindungan insurans motor pihak ketiga secara individu dan sebaliknya menawarkan perlindungan tersebut sebagai suatu pakatan industri adalah akibat kos tuntutan yang sangat tinggi bagi kelas berkenaan yang tidak setimpal dengan premium yang dicaj. Melalui pakatan Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP), tuntutan berkenaan dapat dikongsi industri secara sama rata.

 

  • Salah satu sebab utama pengenaan premium yang lebih tinggi untuk kereta berusia melebihi 10 tahun adalah untuk mengambil kira faktor risiko yang meningkat apabila fungsi enjin serta  lain-lain bahagian kenderaan menjadi kurang mantap akibat kelusuhan. Premium yang dikenakan juga mengambil kira kos alat ganti yang semakin meningkat.

 

  • Pelaksanaan rangka kerja penetapan premium yang berasaskan risiko yang sedang dipertimbangkan akan membolehkan pengguna membayar premium yang setimpal dengan tahap risikonya. Sehubungan ini, Bank Negara Malaysia bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan sedang dalam proses mengkaji penerapan suatu mekanisme perlindungan motor untuk mencapai peningkatan dalam akses, kecekapan dan kemampanan sektor motor. Ini adalah disamping kajian holistik yang sedang dijalankan untuk meningkatkan lagi pencapaian sektor insurans motor. Butir-butir lanjut mengenai mekanisme berkenaan akan diumumkan kelak.