Cari:  
  Dari:   Hingga:  
  Kereta bawah RM10,000 tetap kena insurans
24/11/2009
 
 
 

KUALA LUMPUR 24 Nov: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengumumkan mekanisme skim insurans kenderaan baru pada harga premium yang berpatutan dengan tahap perlindungan ditawarkan tidak lama lagi.

Perdana Menteri memberitahu, pada masa ini, Bank Negara, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan masih mengkaji skim itu secara holistik.

"Ini adalah untuk mencapai peningkatan dalam akses, kecekapan dan kemampanan sektor insurans motor," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najib menegaskan, kereta lama serta kenderaan yang berharga RM10,000 ke bawah akan tetap dibenarkan mengambil perlindungan insurans.

Di samping itu, katanya, kerajaan tidak bercadang menghapuskan perlindungan pihak ketiga yang merupakan keperluan wajib di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kata beliau, sungguhpun penanggung insurans semakin berhati-hati menawarkan perlindungan pihak ketiga akibat kerugian yang dialami, orang ramai masih boleh mendapatkan skim berkenaan melalui Malaysia Motor Insurance Pool (MMIP).

Menurutnya, MMIP merupakan satu pakatan industri dengan para penanggung insurans berkongsi premium dan tuntutan secara sama rata.

"Perlindungan insurans daripada MMIP boleh didapati dari mana-mana cawangan ejennya di seluruh negara iaitu Multi-Purpose Insurans Berhad, Uni. Asia General Insurance Berhad dan Pos Malaysia," katanya.

Najib menjelaskan, kerugian yang dialami oleh penanggung insurans dalam perlindungan pihak ketiga berpunca daripada kos tuntutan yang tinggi serta tidak setimpal dengan premium dikenakan.