Cari:  
  Dari:   Hingga:  
  Bank Negara bincang perkembangan skim insurans baru
23/03/2010
 
 
 
KUALA LUMPUR 22 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan beberapa sesi perbincangan berhubung perkembangan skim Perlindungan Insurans Motor Asas bagi Kecederaan Anggota dan Kematian Pihak Ketiga (TPBID) yang baru sebelum dibentangkan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.

Pengarah, Jabatan Komunikasi Korporatnya, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, perbincangan tersebut akan dibuat dengan semua pihak terbabit, termasuk persatuan pengguna, persatuan perdagangan berkaitan pengangkutan, pengamal undang-undang serta industri insurans.

"Memandangkan cadangan skim TPBI masih pada peringkat perumusan, maka masih terlalu awal bagi pihak kami untuk menjawab soalan-soalan khusus berhubung bentuk atau komponennya.

"BNM bercadang untuk mengadakan sesi perbincangan ini pada bulan April dan skim ini dijangka dilaksanakan pada akhir suku ketiga tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, rasional untuk mengkaji semula rangka kerja insurans motor sedia ada adalah untuk menangani isu-isu dalam menyediakan perlindungan insurans motor di bawah sistem cukai motor yang tidak dibuat penyelarasan selama lebih 30 tahun.

Tambahnya, keadaan tersebut menyebabkan harga yang ditetapkan tidak mencerminkan keadaan sebenar memandangkan cukai motor tidak diselaraskan bagi mengambil kira peningkatan sebenar dalam kos.

"Kesannya, bagi setiap premium RM1 yang dikutip untuk perlindungan TPBID, dianggarkan sebanyak RM2.70 telah dibayar dalam bentuk pembayaran tuntutan.

"Ketidakseimbangan ini telah mengakibatkan akses yang tidak mencukupi kepada perlindungan TPBID serta subsidi silang," jelasnya.

Menurutnya, cadangan skim TPBID baru bertujuan mengimbangi kebimbangan dan kepentingan semua pihak bagi memastikan semua pemandu berpeluang untuk mendapat perlindungan insurans motor asas bagi TPBID pada premium sewajarnya, sepadan dengan tahap perlindungan yang diberikan.

"Ia juga akan meneliti langkah-langkah untuk memastikan pihak menuntut dapat membuat tuntutan dengan lebih cepat.," ujarnya.