Cari:  
  Dari:   Hingga:  
  Hasil Perbincangan dan Maklum Balas Orang Ramai Mengenai Cadangan Rangka Kerja Perlindungan Motor Pihak Ketiga
08/07/2010
 
 
  Bank Negara Malaysia bersama-sama dengan Kementerian Kewangan telah selesai mengadakan sesi perbincangan awal mengenai cadangan rangka kerja perlindungan motor pihak ketiga dengan pihak berkepentingan yang utama pada bulan April 2010. Satu kertas perbincangan yang menjelaskan kewajaran bagi mencadangkan skim asas, prinsip panduan, objektif dan ciri umum yang sedang dalam pertimbangan telah disiarkan dalam laman sesawang BNM untuk membolehkan orang ramai memberikan maklum balas  terhadap skim ini.

Pada akhir bulan Mei 2010, sebanyak 125 responden telah mengemukakan maklum balas  melalui e-mel, memorandum atau surat kepada pengarang akhbar-akhbar nasional. Maklum balas telah diterima daripada orang ramai, persatuan pengguna, pengangkutan dan perniagaan, parti politik, ahli parlimen, Majlis Peguam dan peguam, serta syarikat insurans dan ejen insurans.

Beberapa isu telah dibangkitkan dalam maklum balas yang diterima. Kebanyakan daripada responden bersetuju bahawa paling utama dalam pembaharuan terhadap sistem insurans yang berkaitan dengan rangka kerja perlindungan motor pihak ketiga adalah untuk menangani isu kelewatan proses penyelesaian tuntutan insurans motor. Kebanyakan daripada mereka juga bersikap terbuka terhadap perlunya premium insurans motor diselaraskan secara beransur-ansur bagi menangani ketidaksejajaran harga, dan keperluan untuk beralih kepada sistem penentuan harga berdasarkan risiko. Mereka juga bersetuju bahawa langkah ini akan menggalakkan pemanduan yang selamat dan lebih bertanggungjawab, serta dapat memastikan adanya perlindungan insurans motor untuk jangka panjang, sambil merangsang daya saing dan meningkatkan kecekapan dalam kalangan syarikat insurans am dan pengendali takaful.

Kebanyakan responden juga menyuarakan kebimbangan mereka akan kos yang dijangka perlu ditanggung oleh Kerajaan untuk menubuhkan entiti baharu bagi mengawasi dan mengendalikan skim baharu ini. Berhubung dengan cadangan untuk mengehadkan tuntutan kematian dan kecederaan pihak ketiga, sebahagian daripada responden menyokong langkah menetapkan had tuntutan keseluruhan yang berpatutan, manakala sebahagian lagi  berpendapat bahawa langkah membatasi hak serta menetapkan had bagi jumlah pampasan berkemungkinan menyebabkan mangsa kemalangan tidak mendapat pampasan yang setimpal.

Cadangan penggunaan sistem No-Fault-Liability (kedua-dua pihak yang terlibat dalam kemalangan layak mendapat pampasan) bagi menggantikan sistem sedia ada sebagai kaedah yang lebih saksama dalam memastikan mangsa kemalangan dibayar pampasan dengan segera juga dibangkitkan oleh beberapa kumpulan responden. Meskipun pihak yang menyokong skim ini menganggapnya sebagai penyelesaian bagi ketidakcekapan yang ada sekarang, pihak yang lain pula menyatakan bantahan mereka kerana berpendapat sistem ini tidak sesuai untuk dipraktikkan di Malaysia dan mungkin tidak memberikan pampasan yang setimpal.

Bank Negara Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan pandangan dan pendapat mereka. Kesemua maklum balas ini akan dipertimbangkan dan sesi perbincangan seterusnya dengan pihak berkepentingan akan  diadakan untuk merumuskan penyelesaian yang holistik. Ini bagi memastikan terdapat perlindungan yang wajar bagi para pemandu dan pengguna jalan raya pada premium yang berpatutan.

Kajian semula yang akan dibuat merangkumi: usaha menyelesaikan isu berhubung dengan had pampasan keseluruhan yang wajar;  menambah baik sistem mahkamah yang sedia ada bagi menyelesaikan pertikaian; melaksanakan langkah tambahan secara berperingkat-peringkat untuk menghasilkan proses penyelesaian tuntutan keseluruhan yang lebih cekap; dan melaraskan premium secara beransur-ansur mengikut masa bagi mencerminkan kos insurans. Infrastruktur untuk menyokong rangka kerja ini akan terus dikaji bagi mengurangkan kos kepada Kerajaan. Kajian semula ini akan mengambil kira maklum balas membina yang telah diterima.

Selain itu, usaha yang gigih akan diambil untuk membuat penambahbaikan yang nyata terhadap keseluruhan proses penyelesaian tuntutan. Ini memerlukan sokongan padu daripada semua pihak berkepentingan yang berkaitan. Cadangan akhir rangka kerja perlindungan insurans motor Pihak Ketiga yang baharu dijangka dikemukakan kepada Kerajaan untuk pertimbangan pada bulan Disember 2010.

Bank Negara Malaysia
8 Julai 2010

 

Maklumat Tambahan untuk Media:

Ringkasan Cadangan Skim Perlindungan Motor Asas untuk Mendapatkan Maklum Balas Orang Ramai pada bulan Mei 2010

Cadangan untuk Skim TPBID adalah berdasarkan empat prinsip panduan yang berikut, iaitu untuk memastikan pemilik kenderaan boleh mendapatkan perlindungan asas, menyediakan perlindungan asas pada premium yang berpatutan, terus menyediakan perlindungan tambahan secara sukarela selain perlindungan asas dan menghasilkan penyelesaian tuntutan yang lebih cepat.

Sebagai satu Skim asas, salah satu ciri yang dicadangkan ialah mengehadkan liabiliti di bawah Skim ini supaya pampasan yang dibayar boleh dihadkan kepada, contohnya, RM2 juta bagi setiap mangsa yang mengalami kecederaan/kematian. Pampasan ini juga boleh tertakluk kepada had kecil berdasarkan kategori kerugian masing-masing seperti kecederaan diri, penjagaan kejururawatan dan kehilangan mata pencarian.

Dua pilihan telah dibentangkan kepada pihak berkepentingan yang utama bagi mendapatkan maklum balas. Senario A mencadangkan skala pampasan tetap dengan akses kepada mahkamah yang terhad. Di bawah senario ini, dicadangkan supaya premium tidak dinaikkan dan penyelesaian tuntutan adalah lebih cepat.  Senario B pula mencadangkan pampasan berjulat (ranged) dengan akses sepenuhnya kepada mahkamah seperti sistem yang ada sekarang, yang akan melibatkan kenaikan premium yang berpatutan.