Cari:  
  Dari:   Hingga:  
  Pelaksanaan Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu
06/01/2012
 
 
 

Sebagai sebahagian daripada Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu (Rangka Kerja) yang dirumuskan untuk menangani isu struktur dalam sektor insurans motor, Bank Negara Malaysia ingin memaklumkan mengenai kemajuan langkah-langkah penambahbaikan yang telah diambil untuk menjadikan proses penyelesaian tuntutan dan pelaksanaan pelarasan premium sejak pengumumannya pada 11 Mac 2011 lebih baik.

Dalam memastikan orang ramai boleh membeli insurans motor pada kadar premium yang berpatutan, beberapa langkah segera telah diperkenalkan pada bulan Mei 2011. Antara langkah yang diambil termasuklah memastikan orang ramai boleh mendapatkan perlindungan motor daripada Malaysian Motor Insurance Pool daripada mana-mana syarikat insurans am atau cawangan mereka, dan juga daripada mana-mana cawangan Pos Malaysia di seluruh negara.

Bagi memastikan langkah-langkah penambahbaikan yang dikenal pasti di bawah Rangka Kerja ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, sebuah Jawatankuasa Kerja Bersama (JWC) telah ditubuhkan pada bulan April 2011. JWC ini terdiri daripada wakil-wakil kementerian utama, industri insurans dan takaful, persatuan pengguna dan pengangkutan serta Majlis Peguam Malaysia. Beberapa langkah penambahbaikan yang diambil telah menjadikan proses penyelesaian tuntutan lebih cekap, dengan tempoh masa penyelesaian tuntutan kecederaan diri lebih singkat, khususnya bagi kes yang diselesaikan melalui pengantaraan mahkamah. Langkah-langkah lain yang diambil untuk meningkatkan kecekapan termasuklah rujukan kepada Compendium of Personal Injury Awards oleh hakim dalam menetapkan bayaran ganti rugi bagi kecederaan diri serta penguatkuasaan tarikh akhir bagi mendapatkan laporan polis dan perubatan. Langkah-langkah lain yang akan dilaksanakan untuk meningkatkan lagi kecekapan termasuklah pengenalan kit tuntutan insurans motor untuk mempercepat laporan kemalangan dan tuntutan, serta penubuhan pusat panggilan 24 jam di seluruh negara untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa kemalangan di tempat kejadian pada suku pertama 2012.

Sebagai sebahagian daripada Rangka Kerja ini, penyelarasan terhadap kadar premium Tarif Motor akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 16 Januari 2012. Ini merupakan pelarasan kali pertama kerana kadar premium ini tidak pernah dikaji semula dalam masa lebih 30 tahun yang lalu. Sepanjang tempoh tersebut, bilangan pemilik kenderaan, kadar kemalangan dan tuntutan insurans di Malaysia didapati telah meningkat dengan nyata. Selain itu, kos rawatan di hospital, perbelanjaan perubatan dan kos membaiki kenderaan dan alat ganti juga telah meningkat.

Pelarasan premium ini adalah dalam jumlah yang kecil dan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun. Kesannya kepada orang ramai dan perniagaan adalah kecilSebagai contoh, bagi perlindungan pihak ketiga, premium insurans bagi motosikal berkapasiti 110 cc akan mengalami kenaikan antara RM1.00 - RM3.50 setiap tahun (maksimum 30 sen setiap bulan) dalam jangka masa empat tahun. Bagi kereta persendirian yang berkapasiti 1,400 cc, pelarasan premium adalah antara RM6.00 - RM34.00 setiap tahun (maksimum RM2.80 setiap bulan) dalam jangka masa yang sama. Bagi kenderaan perdagangan seperti teksi luar bandar dan bas, kesan daripada pelarasan premium terhadap penumpang adalah kecil, iaitu kurang daripada 10 sen bagi setiap penumpang dan setiap perjalanan

Pelarasan kadar premium Tarif Motor akan dikaji semula secara berkala bagi memastikan kadar premium yang dilaraskan terus mencerminkan pengalaman tuntutan. Rangka kerja ini akan merintis jalan ke arah pelonggaran tarif sektor insurans motor pada tahun 2016, iaitu apabila kadar premium akan dibezakan lagi mengikut profil risiko kenderaan individu dan lebih berpatutan kepada pemilik kenderaan kerana kenderaan yang mempunyai pengalaman tuntutan yang baik akan menikmati kadar premium yang lebih wajar berbanding dengan pemilik kenderaan lain yang mempunyai profil risiko yang lebih tinggi

Bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat dan manfaat daripada Rangka Kerja ini, terutamanya penambahbaikan proses penyelesaian tuntutan motor, Bank Negara Malaysia dan industri insurans akan terus memberi orang ramai maklumat tentang isu insurans motor melalui program kesedaran dan jangkauan pengguna yang sedang dijalankan

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai Rangka Kerja ini bolehlah menghubungi Bank Negara Malaysia di TELELINK:  1-300-88-5465 atau layari www.insuranceinfo.com.my. Pertanyaan juga boleh dikemukakan sama ada kepada Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) atau penanggung insurans individu.

Bank Negara Malaysia
6 Januari 2012