Jawapan yang anda cari-cari mungkin terdapat di dalam senarai soalan lazim kami.
Hanya klik topik yang berkenaan daripada senarai di bawah:
 
Soalan Lazim Pelan pendidikan anak
 

    Sekiranya saya membeli polisi dalam nilai yang kecil sekarang, dan ingin menambah simpanan saya kemudian, bagaimanakah caranya?
    •  
      Kefleksibelan meningkatkan amaun simpanan akan bergantung pada jenis polisi yang anda beli. Polisi berkaitan pelaburan membenarkan kefleksibelan untuk meningkatkan simpanan melalui penambahan premium bulanan pada bila-bila masa, manakala polisi endowmen yang biasa, lazimnya kurang fleksibel. Walau bagaimanapun, beberapa polisi endowmen juga menawarkan pilihan penambahan premium bulanan. Dapatkan maklumat daripada syarikat insurans atau ejen anda tentang terma dan syarat yang berkaitan dengan penambahan premium bulanan dan berapa banyak daripada penambahan itu akan diagihkan kepada simpanan atau pelaburan.
       
    Bagaimanakah caranya saya membuat pengeluaran apabila tiba masanya?
    •  
      Pilih polisi yang mempunyai kefleksibelan memandangkan kos pendidikan biasanya ditanggung dalam tempoh beberapa tahun. Terdapat polisi endowmen yang akan membenarkan anda menerima sebahagian daripada manfaat insurans sebelum polisi matang, contohnya bayaran 30% daripada manfaat insurans tiga tahun sebelum polisi matang, 30% lagi dua tahun sebelum polisi matang dan selebihnya dibayar apabila polisi matang. Sekiranya polisi itu merupakan pelan berkaitan pelaburan, pengeluaran boleh dibuat pada bila-bila masa dengan menebus unit saham.
       
    Apakah kriteria polisi pendidikan untuk layak mendapat potongan cukai pendapatan?
    •  
      Polisi pendidikan yang memenuhi tiga kriteria berikut layak mendapat potongan cukai pendapatan tahunan sehingga RM3,000 :
       
       
      polisi pendidikan mestilah dibeli oleh ibu bapa/penjaga yang sah,
       
      polisi itu mestilah matang apabila anak mencapai umur antara 13 hingga 25 tahun, dan
        rider manfaat pembayar mestilah diambil sepanjang tempoh polisi.
       
    Saya tidak mempunyai anak, tetapi ingin membeli polisi untuk anak saudara saya. Bolehkah saya berbuat demikian?
    •  
      Tidak boleh. Hanya ibu bapa/penjaga yang sah boleh membeli polisi untuk anaknya. Walau bagaimanapun, anda masih boleh mengatur pembelian dan pembayaran polisi dengan kerjasama ibu bapa/penjaga yang sah. Dalam kes ini, anda terpaksa memberikan semua kuasa atas polisi kepada empunya polisi, iaitu ibu bapa/penjaga yang sah.
       
    Apakah akan terjadi kepada polisi itu sekiranya anak meninggal dunia sebelum polisi matang?
    •  
      Sekiranya anak meninggal dunia lebih awal, manfaat kematian akan dibayar kepada empunya polisi (ibu bapa/penjaga yang sah) dan polisi berkenaan akan ditamatkan. Walau bagaimanapun, bergantung pada jenis polisi pendidikan anak yang telah anda beli, manfaat kematian sepenuhnya akan hanya boleh dibayar sekiranya anak anda meninggal dunia selepas umur tertentu (biasanya selepas empat tahun). Anda boleh menyemak terma dan syarat polisi untuk mengetahui bila anda layak menerima bayaran manfaat.
       
    Bolehkah polisi dipindahkan kepada mana-mana anak saya yang lain?
    •  
      Tidak boleh. Hayat yang diinsuranskan terus kekal untuk hayat yang sama sepanjang tempoh polisi dan manfaat polisi tidak boleh dipindahkan kepada orang lain.
       
 
 
 
Maklumat Berkaitan
 

Pelan pendidikan anak
 
Saya Mahu...

Emel laman ini kepada kawan

Tanda pilih laman ini

Hantar maklum balas mengenai laman ini