Jawapan yang anda cari-cari mungkin terdapat di dalam senarai soalan lazim kami.
Hanya klik topik yang berkenaan daripada senarai di bawah:
 
Soalan Lazim Biro Kredit
 
    Apakah yang dimaksudkan dengan Biro Kredit?
    •  
      Biro Kredit ialah unit yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia di bawah peruntukan Akta Bank Negara Malaysia 1958.
       
    Apakah fungsi Biro Kredit?
    •  
      Biro Kredit mengumpul maklumat kredit para peminjam dan membekalkan maklumat tersebut kepada pemberi pinjaman. Ia adalah satu daripada sumber-sumber maklumat yang digunakan oleh pemberi pinjaman untuk membantu mereka mengetahui sejarah kredit bakal peminjam atau peminjam yang sedia ada.
       
    Mengapakah Bank Negara Malaysia menubuhkan Biro Kredit?
    •  
      Salah satu daripada fungsi Bank Negara Malaysia adalah mengawal selia institusi-institusi kewangan supaya sistem kewangan negara sentiasa berada di dalam keadaan kukuh dan stabil.

      Oleh itu, Bank Negara Malaysia menggalakkan budaya kredit yang berhemat dan sikap profesionalisme di kalangan institusi-institusi kewangan, termasuk amalan perniagaan yang terbaik di dalam pengurusan risiko kredit. Salah satu cara untuk berbuat demikian adalah dengan menyediakan perkhidmatan biro kredit kepada institusi kewangan supaya mereka dapat membuat keputusan pinjaman yang lebih cepat dan berasaskan maklumat yang lebih lengkap.
       
    Dari manakah Biro Kredit mendapatkan maklumatnya?
    •  
      Biro Kredit mendapatkan maklumatnya daripada pemberi pinjaman yang terdiri daripada semua bank perdagangan, bank Islam, syarikat kewangan dan bank saudagar berlesen serta beberapa institusi kewangan yang lain. Sila rujuk kepada lampiran untuk senarai lengkap institusi kewangan yang menyertai CCRIS.
       
    Adakah aktiviti Biro Kredit dikawal selia?
    •  
      Biro Kredit dikehendaki beroperasi mengikut batas-batas yang ditetapkan oleh Akta Bank Negara Malaysia 1958.
       
    Bolehkah saya menghalang Biro Kredit daripada menyimpan maklumat kredit mengenai diri saya?
    •  
      Tidak. Biro Kredit telah diberi kuasa undang-undang untuk mengumpul maklumat sedemikian.
       

    Jika permohonan kredit saya ditolak oleh pemberi pinjaman, adakah ini bermakna bahawa saya telah disenaraihitamkan?
    •  
      Tidak. Biro Kredit tidak menyenaraihitamkan sesiapa kerana ianya tidak menyatakan sebarang pendapat mengenai maklumat yang terkandung di dalam laporan kredit. Maklumat mengenai penolakan permohonan kredit tidak akan ditunjukkan di dalam laporan kredit bagi memastikan pemberi pinjaman tidak diprejudiskan oleh keputusan pemberi pinjaman yang lain.
       

    Adakah Bank Negara Malaysia mempengaruhi keputusan kredit institusi-institusi kewangan melalui Biro Kredit?
    •  
      Tidak. Bank Negara Malaysia tidak pernah dan tidak akan terlibat di dalam sebarang keputusan pinjaman institusi kewangan. Laporan kredit hanya memberikan maklumat yang bersifat fakta sahaja yang dilaporkan kepada Biro Kredit. Biro Kredit tidak memberi sebarang pendapat mengenai kedudukan kredit seseorang. Pemberi pinjaman membuat keputusan mereka sendiri berdasarkan maklumat yang ada pada mereka, termasuk laporan kredit yang disediakan oleh Biro Kredit dan maklumat yang disediakan oleh pelanggan sendiri di dalam dokumen-dokumen permohonan kredit serta dokumen-dokumen sokongan yang lain.
       
    Adakah Biro Kredit menyediakan penarafan kredit terhadap pemohon kredit?
    •  
      Biro Kredit tidak menyediakan sebarang penarafan kredit atau pendapat mengenai kedudukan kredit mana-mana pemohon kredit.
       

    Jika permohonan kredit saya ditolak oleh sesebuah institusi pemberi pinjaman, adakah pemberi-pemberi pinjaman yang lain akan membuat keputusan yang sama?
    •  
      Tidak semestinya. Setiap pemberi pinjaman mempunyai dasar pinjaman yang berlainan dan bergantung kepada citarasa risiko masing-masing. Maklumat yang disediakan oleh Biro Kredit hanyalah sebahagian daripada keseluruhan proses keputusan pemberian pinjaman bagi sesebuah institusi kewangan dan pertimbangan yang dibuat oleh setiap institusi kewangan mungkin berbeza.
       

    Apakah jenis maklumat yang dilaporkan oleh institusi-institusi kewangan kepada Biro Kredit?
    •  
      Institusi-institusi kewangan melaporkan data pengenalan penting terhadap para peminjam mereka (contohnya: nama, nombor kad pengenalan dan alamat) dan menyediakan data-data berkaitan dengan pinjaman-pinjaman yang telah diberikan kepada peminjam-peminjam (contohnya: jenis kemudahan kredit, pengendalian kemudahan dan had kredit).
       

    Apakah jenis-jenis kemudahan kredit yang dilaporkan oleh institusi-institusi kewangan kepada Biro Kredit?
    •  
      Institusi-institusi kewangan dikehendaki untuk melaporkan semua jenis kemudahan kredit yang diberikan kepada peminjam-peminjam, termasuk kad kredit, overdraf, kemudahan dagangan dan pinjaman perumahan.
       

    Adakah sesebuah institusi kewangan dibenarkan untuk mengakses laporan kredit seseorang yang bukan pelanggannya?
    •  
      Tidak. Jika seseorang mengakses laporan kredit secara haram, dia boleh dikenakan hukuman di bawah peruntukan undang undang.
       

    Adakah undang-undang membenarkan seseorang untuk memperolehi laporan kredit mengenai dirinya sendiri?
    •  
      Ya. Akta Bank Negara Malaysia 1958 membenarkan Biro Kredit untuk mendedahkan maklumat kredit mengenai seseorang kepada dirinya sendiri bagi tujuan pengesahan ketepatan maklumat yang dilaporkan kepada Biro Kredit.
       
    Saya tidak memahami kandungan di dalam laporan kredit saya. Di manakah saya boleh mendapatkan bantuan?
    •  
      Sekiranya anda memerlukan bantuan mengenai bagaimana untuk membaca laporan kredit, anda bolehlah menghubungi BNMTELELINK.
       

    Saya mempunyai seorang kawan yang ingin melihat laporan kreditnya. Bolehkah saya mendapatkan laporan kredit bagi pihaknya?
    •  
      Tidak. Laporan kredit hanya boleh diberikan kepada orang yang berkenaan sahaja.
       

    Saya akan menjadi penjamin kepada satu pinjaman. Bolehkah saya mendapatkan sesalinan laporan kredit orang yang mana pinjamannya saya jamin/akan jamin?
    •  
      Tidak. Laporan kredit hanya boleh diberikan kepada orang yang berkenaan sahaja.
       
    Saya adalah seorang peminjam. Bolehkah saya mendapatkan laporan kredit mengenai penjamin saya?
    •  
      Tidak. Seperti yang disebutkan tadi, laporan kredit hanya boleh diberikan kepada orang yang berkenaan sahaja.
       

    Saya kini mempunyai kad kredit dengan sebuah institusi kewangan. Adakah maklumat mengenai diri saya ini dimasukkan ke dalam CCRIS?
    •  
      Ya. Maklumat kad kredit turut dilaporkan di dalam CCRIS.
       

    Saya mempunyai akaun semasa dengan institusi kewangan, adakah maklumat ini dimasukkan ke dalam CCRIS?
    •  
      Institusi-institusi kewangan tidak dikehendaki dan tidak seharusnya melaporkan sebarang maklumat mengenai akaun semasa ke dalam CCRIS. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai kemudahan overdraf yang beroperasi dengan berasaskan kepada akaun semasa terbabit, maka maklumat kemudahan overdraf tersebut akan dilaporkan di dalam CCRIS.
       

    Permohonan pinjaman saya telah ditolak disebabkan oleh rekod kredit saya yang kurang memuaskan dan hal ini telah dilaporkan di dalam CCRIS. Apakah tindakan yang boleh diambil oleh saya untuk memperbaiki kedudukan kredit saya?
    •  
      Rekod kredit yang kurang memuaskan mungkin berpunca daripada hutang yang belum dijelaskan di institusi kewangan apabila anda gagal membayar balik ataupun tidak membayar balik mengikut jadual. Anda sepatutnya membincangkan perkara ini dengan institusi kewangan berkenaan dan merumuskan satu skim pembayaran semula dengan institusi kewangan terbabit. Selepas akaun anda dikemaskinikan, barulah rekod kredit anda akan menunjukkan keadaan yang lebih baik.

      Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjut, sila ajukan pertanyaan anda kepada Biro Kredit melalui telefon, faksimili, surat atau e-mel:

      Nombor Telefon: 03-2692 9849

      Faksimili dan surat perlu dialamatkan kepada:

      Ketua
      Jabatan Perkhidmatan Statistik
      Bank Negara Malaysia
      Jalan Dato' Onn
      50480 Kuala Lumpur
      (U.P.: Biro Kredit)



      Nombor Faksimili:

      03-2697 0596
      03-2698 5378

      E-mel perlu dihantar ke:ccbhdesk@bnm.gov.my

      Untuk maklumat lanjut dan terkini mengenai aktiviti-aktiviti Biro Kredit, sila layari laman web Biro Kredit di creditbureau.bnm.gov.my

      LAMPIRAN

      Senarai Institusi Kewangan yang Menyertai CCRIS (setakat 31 Disember 2002)

      Bank-bank Perdagangan
      ABN AMRO Bank Berhad
      Affin Bank Berhad
      Alliance Bank Malaysia Berhad
      AmBank Berhad
      Bangkok Bank Berhad
      Bank of America Malaysia Berhad
      Bank of China (Malaysia) Berhad
      Bank of Tokyo-Mitsubishi (Malaysia) Berhad
      Bank Utama (Malaysia) Berhad
      Bumiputra-Commerce Bank Berhad

      Citibank Berhad
      Deutsche Bank (Malaysia) Berhad
      EON Bank Berhad
      Hong Leong Bank Berhad
      HSBC Bank Malaysia Berhad
      J.P. Morgan Chase Bank Berhad
      Malayan Banking Berhad
      OCBC Bank (Malaysia) Berhad
      Public Bank Berhad
      RHB Bank Berhad
      Southern Bank Berhad
      Standard Chartered Bank Malaysia Berhad
      The Bank of Nova Scotia Berhad
      United Overseas Bank (Malaysia) Berhad
      Bank-bank Islam


      Bank Islam Malaysia Berhad
      Bank Muamalat Malaysia Berhad
      Syarikat-syarikat Kewangan
      Affin-ACF Finance Berhad
      Alliance Finance Berhad
      AmFinance Berhad
      Bumiputra-Commerce Finance Berhad
      EON Finance Berhad
      Hong Leong Finance Berhad
      Mayban Finance Berhad
      Public Finance Berhad
      RHB Delta Finance Berhad
      Southern Finance Berhad
      Bank-bank Saudagar
      Affin Merchant Bank Berhad
      Alliance Merchant Bank Berhad
      AmMerchant Bank Berhad
      Aseambankers Malaysia Berhad
      Commerce International Merchant Bankers Berhad
      Malaysian International Merchant Bankers Berhad Public Merchant Bankers Berhad

      RHB Sakura Merchant Bankers Berhad
      Southern Investment Bank Berhad
      Utama Merchant Bank Berhad
      Lain-lain Institusi Kewangan
      Bank Industri & Teknologi Malaysia Berhad
      Bank Pembangunan & Infrastruktur Malaysia Berhad
      Bank Pembangunan Sabah Berhad
      Borneo Development Corporation (Sabah) Berhad
      Borneo Development Corporation (Sarawak) Berhad
      Pengurusan Danaharta Nasional Berhad
      Export-Import Bank Malaysia Berhad
      Malaysian Industrial Development Finance Berhad
       
 
 
 
Maklumat Berkaitan
 

Biro Kredit
 
Saya Mahu...

Emel laman ini kepada kawan

Tanda pilih laman ini

Hantar maklum balas mengenai laman ini