Jawapan yang anda cari-cari mungkin terdapat di dalam senarai soalan lazim kami.
Hanya klik topik yang berkenaan daripada senarai di bawah:
 
Soalan Lazim Insurans rumah
 

    Saya telah membeli sebuah pangsapuri. Walaupun saya telah membayar polisi insurans bagi pangsapuri tersebut yang diambil oleh perbadanan pengurusan, pembiaya masih menghendaki saya membeli insurans untuk pangsapuri tersebut. Mengapakah saya harus membayar insurans berganda? Bolehkah saya membayar untuk satu polisi sahaja?
    •  
      Di bawah Akta Hak Milik Strata, adalah mandatori bagi perbadanan pengurusan yang mengurus sesuatu bangunan yang dipecah bahagi seperti pangsapuri dan kondominium, untuk membeli polisi insurans kebakaran bagi keseluruhan bangunan. Pemilik unit individu kemudiannya dikehendaki membayar kepada perbadanan pengurusan bahagian premium masing-masing. Sekiranya unit itu dibeli melalui pinjaman, pembiaya biasanya juga menghendaki peminjam membeli insuran untuk unit terbabit.

      Walau bagaimanapun, sekiranya anda mendapat pinjaman daripada institusi kewangan di bawah penyeliaan BNM, persetujuan telah dicapai di mana peminjam tidak perlu membeli polisi lain untuk pangsapuri mereka. Sebaliknya, institusi kewangan berkenaan akan menerima polisi insurans yang dibeli oleh perbadanan pengurusan, tertakluk kepada terma dan syarat tertentu.Sekiranya pinjaman anda bukan daripada institusi pembiayaan di bawah penyeliaan BNM, anda boleh berunding dengan institusi berkenaan.
       

    Sekiranya saya mempunyai pangsapuri, bagaimanakah saya mendapat pembayaran pampasan di bawah polisi induk yang diambil oleh perbadanan pengurusan apabila berlaku kerugian?
    •  
      Jika berlaku kerugian, syarikat insurans akan membayar pampasan kepada perbadanan pengurusan sebagai pemegang polisi induk. Anda sebagai empunya unit pangsapuri boleh mendapatkan pampasan daripada perbadanan pengurusan.
       
    Apakah jenis polisi yang harus saya beli untuk melindungi rumah saya dan barang-barang di dalamnya?
    •  
      Pampasan tuntutan insurans bergantung kepada jenis polisi yang anda beli. Sekiranya anda mempunyai polisi insurans kebakaran asas, anda akan dibayar pampasan terhadap kerugian/kerosakan akibat kebakaran, kilat atau letupan. Polisi empunya rumah memberi perlindungan tambahan seperti banjir, paip pecah dll. Untuk melindungi barang-barang di dalam rumah, anda perlu membeli polisi isi rumah.
       

    Saya membuat tuntutan di bawah polisi empunya rumah yang saya beli. Apabila pembantu rumah saya lari dari rumah dan membawa bersamanya barang kemas saya, syarikat insurans menolak tuntutan saya. Bolehkah syarikat insurans bertindak sedemikian?
    •  
      Satu daripada syarat asas dalam polisi isi rumah ialah syarikat insurans akan hanya membayar pampasan untuk kecurian jika ada bukti bahawa masuk/keluar atau cubaan masuk/keluar itu dilakukan secara kekerasan dan ganas. Dalam kes ini, oleh kerana pembantu rumah anda tidak memecah masuk rumah anda, anda tidak layak dibayar pampasan.
       

    Saya mendapat pembiayaan 50% untuk membeli rumah. Bank menghendaki saya membeli perlindungan insurans setakat amaun pinjaman. Adakah perlindungan ini mencukupi?
    •  
      Selaras dengan prinsip indemniti, syarikat insurans akan membayar pampasan anda berdasarkan nilai diinsuranskan atau nilai pasaran harta berkenaan semasa berlaku kerugian, mengikut mana yang lebih rendah. Sekiranya anda menginsuranskan rumah anda pada nilai yang lebih rendah daripada nilai pasarannya, anda dianggap sebagai menginsuranskan sendiri perbezaan di antara kedua nilai tersebut. Dalam kes ini, sekiranya berlaku kerugian/kerosakan, anda akan dibayar pampasan hanya sehingga 50% sahaja.
       

    Terdapat banyak barang yang hendak diinsuranskan di bawah polisi isi rumah. Bagaimanakah saya membuktikan tuntutan saya jika berlaku kerugian?
    •  
      Adalah amat mustahak untuk dapat memberikan bukti bagi menyokong sesuatu tuntutan. Oleh itu, pastikan anda menyimpan invois, bil atau baucer bayaran barang-barang berkenaan untuk membantu membuktikan tuntutan anda.
       

    Apakah jenis polisi yang harus saya beli untuk melindungi rumah saya yang terletak berhampiran atau di atas bukit?
    •  
      Risiko terdedah kepada gelinciran tanah adalah lebih tinggi bagi rumah yang terletak berhampiran atau di atas bukit. Oleh yang demikian, anda dinasihatkan supaya memastikan yang polisi insurans rumah anda melindungi tanah mendap dan tanah gelincir. Untuk melindungi barang-barang di dalam rumah anda pula, anda boleh membeli polisi isi rumah.
       
 
 
 
Maklumat Berkaitan
 

Insurans rumah
 
Saya Mahu...

Emel laman ini kepada kawan

Tanda pilih laman ini

Hantar maklum balas mengenai laman ini