Jawapan yang anda cari-cari mungkin terdapat di dalam senarai soalan lazim kami.
Hanya klik topik yang berkenaan daripada senarai di bawah:
 
Soalan Lazim Penipuan Insurans
 
    Sekiranya saya memperbesarkan nilai diinsuranskan bagi harta saya, adakah ini dianggap sebagai penipuan?
    •  
      Memperbesarkan nilai diinsuranskan tidak semestinya suatu penipuan. Ia lebih merupakan harta yang diinsuranskan dengan nilai yang berlebihan. Walau bagaimanapun, tiada untungnya untuk memperbesarkan nilai diinsuranskan kerana anda hanya akan menerima nilai yang terendah di antara "harga pasaran" dengan nilai diinsuranskan bagi harta berkenaan apabila tuntutan dibayar. Walau bagaimanapun, memperbesarkan tuntutan dengan niat untuk memperdaya boleh dianggap sebagai penipuan insurans.
       

    Andaikan saya membeli polisi insurans berganda untuk melindungi harta tertentu, apabila berlaku kerugian atau kerosakan ke atas harta tersebut, adakah dianggap penipuan sekiranya saya membuat tuntutan berganda?
    •  
      Selaras dengan prinsip "sumbangan", adalah tidak wajar untuk membeli lebih daripada satu polisi untuk melindungi suatu harta tertentu. Sekiranya anda membeli lebih daripada satu polisi, apabila berlaku kerugian atau kerosakan ke atas harta tersebut, anda hanya boleh membuat satu tuntutan sahaja dan amaun tuntutan yang perlu dibayar akan disumbangkan oleh syarikat-syarikat atau pengendali-pengendali takaful yang terlibat.

      Walau bagaimanapun, sekiranya anda ingin melindungi hayat anda, anda boleh membeli lebih daripada satu polisi. Sekiranya anda telah membeli lebih daripada satu polisi insurans kemalangan diri, apabila anda meninggal dunia atau hilang upaya, anda atau benefisiari anda, mengikut mana yang berkenaan, akan dibayar pampasan di bawah setiap polisi tersebut. Walau bagaimanapun, bagi kerugian tertentu yang pampasannya dibayar berdasarkan pembayaran gantian, seperti perbelanjaan perubatan, anda akan dibayar pampasan sekali sahaja bagi kerugian sebenar yang dialami.
       

    Saya telah ditawarkan untuk memperbaharui polisi motor saya pada kos yang nyata lebih rendah daripada amaun yang saya bayar sekarang. Perlukah saya berasa syak wasangka tentang tawaran ini? Perlukah juga saya berasa syak wasangka sekiranya kos memperbaharui polisi lebih tinggi daripada amaun yang saya bayar sekarang?
    •  
      Bagi polisi insurans motor atau takaful motor, kadar minimum premium yang dikenakan oleh syarikat insurans atau pengendali takaful adalah ditetapkan oleh Tarif Motor Malaysia. Selain itu, di bawah Tarif Motor, syarikat insurans atau pengendali takaful dan/atau ejen mereka tidak dibenarkan memberikan rebat/diskaun.

      Sebarang pengurangan premium insurans motor anda semasa pembaharuannya mungkin disebabkan oleh pengurangan dalam nilai diinsuranskan bagi kenderaan berkenaan dan kelayakan diskaun tanpa tuntutan [no claim discount (NCD)] yang anda nikmati. Sebaliknya, syarikat insurans atau pengendali takaful anda boleh mengenakan premium tambahan atau bebanan premium yang perlu dibayar disebabkan oleh faktor risiko yang lebih tinggi seperti usia kenderaan dan pengalaman tuntutan anda.

      Walau bagaimanapun, sekiranya anda berasa bahawa anda telah ditawarkan pembaharuan dengan kadar premium yang disyaki terlalu rendah, anda perlu menghubungi syarikat insurans atau pengendali takaful anda atau PIAM/MTA untuk pengesahan.
       

    Kereta saya terlibat dalam kemalangan dengan kereta lain dan saya membuat tuntutan terhadap syarikat insurans atau pengendali takaful kereta lain tersebut. Bengkel kereta menawarkan untuk memperbaiki kerosakan yang terjadi sebelum ini iaitu bukan disebabkan oleh kemalangan di atas. Adakah ini dianggap penipuan?
    •  
      Sebagai pihak ketiga yang menuntut, anda layak membuat tuntutan untuk kos memperbaiki kerosakan kereta anda yang rosak disebabkan oleh kemalangan itu dari syarikat insurans atau pengendali takaful kereta tersebut. Sebarang tuntutan untuk kos memperbaiki kerosakan yang terjadi sebelum ini iaitu bukan disebabkan oleh kemalangan berkenaan adalah dianggap penipuan. Jangan terima tawaran sedemikian.
       

    Saya telah membayar premium saya kepada ejen insurans atau takaful. Walau bagaimanapun, tidak lama selepas itu saya dapati syarikat insurans atau pengendali takaful berkenaan tidak menerima premium saya tersebut. Apakah yang akan terjadi ke atas polisi insurans saya?
    •  
      Sekiranya anda membayar premium kepada ejen yang berdaftar dengan PIAM/LIAM/MTA dan anda dapat membuktikan yang anda telah membayar premium itu kepada ejen (dengan menunjukkan, sama ada nota perlindungan atau resit pembayaran), polisi insurans atau takaful anda masih sah. Anda perlu melaporkan perilaku ejen tersebut kepada syarikat insurans atau pengendali takaful anda supaya tindakan boleh diambil terhadap ejen berkenaan.

      Walau bagaimanapun, sekiranya ejen itu tidak berdaftar dengan PIAM/LIAM/MTA, iaitu ejen palsu, maka perlindungan insurans tidak lagi berkuat kuasa. Anda perlu membuat laporan polis terhadap ejen palsu itu dan bertindak membeli perlindungan insurans yang diperlukan daripada syarikat insurans atau pengendali takaful atau ejen yang berdaftar.

      Untuk melindungi diri anda, sentiasa pastikan bahawa anda hanya membeli perlindungan insurans daripada ejen berdaftar dan meminta resit sebagai bukti pembayaran.
       
 
 
 
Maklumat Berkaitan
 

Penipuan Insurans
 
Saya Mahu...

Emel laman ini kepada kawan

Tanda pilih laman ini

Hantar maklum balas mengenai laman ini