Jawapan yang anda cari-cari mungkin terdapat di dalam senarai soalan lazim kami.
Hanya klik topik yang berkenaan daripada senarai di bawah:
 
Soalan Lazim Takaful berkaitan pelaburan
 
    Adakah pulangan ke atas dana pelaburan terjamin?
    •  
      Tidak, pulangan ke atas dana pelaburan tidak terjamin. Ini adalah kerana harga unit yang dipegang mungkin akan mengalami kenaikan atau penurunan bergantung kepada nilai pasaran pelaburan yang didasarkan.
       
    Apakah harga bida dan harga tawaran?
    •  
      Harga tawaran adalah harga yang disebut oleh pengendali takaful apabila menjual unit dana berkaitan pelaburan kepada anda. Harga bida adalah harga yang disebut apabila pengendali takaful membeli balik unit daripada anda. Perbezaan di antara harga bida dan harga tawaran ialah 'spread' bida/tawaran, yang biasanya dinyatakan sebagai peratus daripada harga. 'Spread' ini biasanya lebih kurang 5%.
       
    Adakah saya boleh mengetahui caj yang saya bayar di bawah takaful berkaitan pelaburan saya?
    •  
      Takaful berkaitan pelaburan biasanya lebih telus daripada pelan-pelan lain dalam mendedahkan caj yang dikenakan. Caj-caj ini didedahkan dalam penyata yang dihantar kepada semua peserta.
       

    Perlukah saya menyerahkan takaful berkaitan pelaburan saya sekiranya saya membuat keputusan bagi menukar dana pelaburan?
    •  
      Tidak, anda dinasihatkan untuk tidak menyerahkan takaful berkaitan pelaburan yang sedia ada sekiranya anda membuat keputusan bagi menukar dana pelaburan. Ini adalah kerana anda mungkin mendapat kurang daripada apa yang telah anda laburkan disebabkan fi dan caj yang dikenakan. Apa yang boleh anda lakukan adalah mengalihkan dana dan kebanyakan pengendali takaful membenarkan satu alihan setahun tanpa mengenakan sebarang fi. Walau bagaimanapun, bagi alihan tambahan, fi yang minimum mungkin akan dikenakan.
       
    Bolehkah saya menambah pelaburan?
    •  
      Ya, anda boleh meningkatkan takaful berkaitan pelaburan anda yang sedia ada pada bila-bila masa. Peningkatan ini biasanya digunakan bagi menambah bahagian pelaburan tanpa sebarang perubahan dalam perlindungan takaful.
       
    Berapa lamakah harus saya memegang takaful berkaitan pelaburan saya?
    •  
      Tidak ada tempoh tetap untuk anda memegang takaful berkaitan pelaburan anda. Ia sama seperti akaun simpanan di bank atau unit amanah yang mana anda boleh menentukan sendiri jangka masa pegangan pelan anda. Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan agar tidak memegang pelan tersebut bagi jangka masa yang singkat memandangkan kos permulaan yang tinggi.
       
    Adakah takaful berkaitan pelaburan ditawarkan kepada orang Islam sahaja?
    •  
      Tidak, takaful berkaitan pelaburan dibuka kepada semua individu tanpa mengira fahaman agama mereka. Tiada terma dan syarat tambahan dikenakan ke atas peserta bukan Islam.
       
    Bagaimana saya boleh membayar caruman takaful?
    •  
      Anda boleh memilih untuk membayar caruman anda secara sekali gus, bulanan, suku tahunan, separuh tahunan atau tahunan. Bayaran caruman anda boleh dibuat melalui arahan tetap, kad kredit, cek, potongan gaji atau di mana-mana cawangan pengendali takaful anda.
       
    Apakah hilang upaya kekal?
    •  
      Kehilangan upaya yang kekal adalah hilang upaya, sama ada akibat kecederaan pada tubuh badan atau penyakit yang menyebabkan anda tidak berupaya langsung melakukan sebarang kerja.
       
    Adakah saya layak mendapat pelepasan cukai perseorangan jika saya menyertai takaful berkaitan pelaburan?
    •  
      Ya, anda layak mendapat pelepasan cukai perseorangan apabila anda menyertai takaful berkaitan pelaburan atau sebarang takaful keluarga. Pengendali takaful akan mengeluarkan penyata caruman tahunan bagi menyokong penyata cukai pendapatan anda kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
       
 
 
 
Maklumat Berkaitan
 

Takaful berkaitan pelaburan
 
Saya Mahu...

Emel laman ini kepada kawan

Tanda pilih laman ini

Hantar maklum balas mengenai laman ini