Jawapan yang anda cari-cari mungkin terdapat di dalam senarai soalan lazim kami.
Hanya klik topik yang berkenaan daripada senarai di bawah:
 
Soalan Lazim Insurans hayat
 
    Bagaimanakah saya mengetahui sama ada seseorang ejen itu mempunyai kuasa menjual polisi insurans hayat?
    •  
      Ejen insurans hayat ialah wakil syarikat insurans hayat tertentu dan boleh memberi nasihat tentang produk yang hanya dipasarkan oleh syarikat insurans berkenaan. Ejen yang menjual produk insurans hayat adalah berdaftar dengan Persatuan Insurans Hayat Malaysia [Life Insurance Association of Malaysia (LIAM)] dan dikehendaki lulus peperiksaan pra-kontrak yang dikendalikan oleh Institut Insurans Malaysia. Semasa berurusan dengan ejen insurans hayat, sentiasalah minta untuk melihat kad kuasa beliau yang dikeluarkan oleh LIAM.
       
    Apakah perbezaan di antara polisi sertaan dan bukan-sertaan?
    •  
      Polisi sertaan (atau dengan keuntungan) membolehkan pemegang polisi berkongsi keuntungan syarikat insurans hayat, manakala polisi bukan-sertaan (atau tanpa keuntungan) tidak mempunyai hak perkongsian tersebut. Keuntungan yang dibahagikan kepada pemegang polisi biasanya adalah dalam bentuk bonus berbalik atau dividen. Bonus atau dividen ini tidak dijamin dan boleh naik atau turun bergantung kepada pulangan pelaburan dana hayat.
       
    Bagaimanakah syarikat insurans hayat menilai risiko saya?
    •  
      Kelas risiko atau mortaliti pemegang polisi adalah ditentukan oleh pengunderait dengan menggunakan proses pengunderaitan untuk membolehkan syarikat insurans hayat membuat keputusan sama ada menerima atau menolak sesuatu risiko. Risiko kematian adalah ditentukan oleh beberapa faktor seperti umur, jantina, aktiviti kebiasaan, latar belakang peribadi dan perubatan, pekerjaan, dll. Keputusan syarikat insurans hayat untuk menginsuranskan anda adalah berdasarkan maklumat yang diberikan di dalam borang permohonan, laporan pemeriksaan perubatan (sekiranya diperlukan), dll. Oleh itu, anda hendaklah mendedahkan semua fakta sepenuhnya dan secara jujur di dalam borang permohonan anda supaya syarikat insurans hayat boleh berlaku adil ketika menilai risiko yang terbabit.
       
    Apakah akan berlaku kepada polisi saya sekiranya saya gagal membayar premium tepat pada waktunya?
    •  
      Kontrak polisi memperuntukkan 'tempoh tangguh' yang memberi masa tambahan kepada pemegang polisi selepas tamat tempoh bayaran premium. Dalam sepanjang tempoh tambahan ini, anda masih boleh membayar premium dan polisi insurans hayat anda masih terus berkuat kuasa. Bagi bayaran premium secara bulanan, tempoh tangguhnya ialah 15 hari, manakala bagi bayaran yang lain (setengah-tahunan atau tahunan), tempoh tangguhnya ialah 30 hari.

      Apabila polisi insurans hayat anda luput, anda boleh menghidupkan atau mengembalikannya semula supaya ia berkuat kuasa sepenuhnya dalam tempoh dan di bawah syarat tertentu, seperti pengesahan keadaan kesihatan anda pada masa pengembalian semula.
       

    Bolehkah saya mendapat semula premium sekiranya saya membatalkan polisi saya dalam tempoh membuat keputusan?
    •  
      Ya, di bawah tempoh membuat keputusan, anda boleh membatalkan polisi insurans anda dalam masa 15 hari selepas anda menerima dokumen polisi dengan mengembalikan polisi berkenaan kepada syarikat insurans hayat. Premium yang telah anda bayar (tolak apa-apa fi perubatan yang dikenakan, sekiranya berkenaan), akan dikembalikan kepada anda.
       
    Patutkah saya membatalkan polisi saya yang ada sekarang dan menggantikannya dengan polisi lain?
    •  
      Oleh kerana membeli polisi insurans hayat adalah komitmen jangka panjang, adalah tidak wajar membatalkan polisi anda awal memandangkan anda tidak akan menerima balik kesemua jumlah premium yang anda telah bayar kerana nilai serahan biasanya kurang daripada apa yang anda telah bayar.

      Menggantikan polisi yang ada sekarang dengan polisi lain mungkin tidak memberi apa-apa keuntungan kepada anda. Ini adalah kerana polisi yang baru itu akan mengenakan premium yang lebih tinggi memandangkan anda semakin berumur. Terdapat juga kos awal menanggung polisi insurans hayat untuk kali kedua dan tempoh tidak boleh tanding selama dua tahun akan bermula sekali lagi. Tambahan pula, syarikat insurans anda yang sekarang biasanya boleh membuat perubahan yang anda perlukan pada kos yang lebih rendah.
       
    Berapa banyakkah akan saya terima sekiranya saya menyerahkan polisi insurans hayat saya?
    •  
      Apabila polisi insurans hayat telah berkuat kuasa beberapa tahun (biasanya minimum tiga tahun), ia akan memperolehi nilai tunai. Nilai tunai ini ialah bahagian 'tabungan' polisi hayat. Ia terbit apabila bayaran premium adalah lebih daripada kos insurans, yang kemudiannya lebihan itu dimasukkan ke dalam akaun nilai tunai dan menghasilkan faedah.

      Sekiranya anda membuat keputusan untuk menyerahkan polisi insurans hayat anda, syarikat insurans hayat akan membayar nilai tunai, yang juga dikenali sebagai nilai serahan. Anda akan rugi sekiranya menyerahkan polisi anda sebelum polisi itu matang.
       
    Adakah ilustrasi pemasaran insurans hayat dokumen yang sah di sisi undang-undang, sebagaimana kontrak?
    •  
      Ilustrasi pemasaran bukanlah dokumen yang sah di sisi undang-undang. Obligasi undang-undang syarikat insurans adalah dinyatakan di dalam polisi. Oleh itu, sebelum menandatangani kontrak, pemegang polisi hendaklah membaca dengan teliti cetakan halus pada kontrak berkenaan bagi memastikan pemegang polisi memahami sifat sebenar polisi, risiko yang dilindungi serta had-had atau klausa pengecualian.
       
    Bolehkah saya membayar premium saya melalui ejen?
    •  
      Anda mempunyai pilihan untuk membayar premium terus kepada syarikat insurans atau melalui ejen. Sekiranya anda memilih membayar melalui ejen, anda hendaklah memastikan bahawa cek adalah ditulis atas nama syarikat insurans. Anda juga hendaklah memastikan resit diterima daripada syarikat insurans.
       
 
 
 
Maklumat Berkaitan
 

Insurans hayat
 
Saya Mahu…

Emel laman ini kepada kawan

Tanda pilih laman ini

Hantar maklum balas mengenai laman ini