Jawapan yang anda cari-cari mungkin terdapat di dalam senarai soalan lazim kami.
Hanya klik topik yang berkenaan daripada senarai di bawah:
 
Soalan Lazim Penamaan
 
    Bilakah saya boleh membuat penamaan?
    •  
      Anda boleh membuat penamaan pada masa membuat permohonan bagi polisi insurans hayat atau pada masa yang lain, apabila perlu.
       

    Apakah maklumat yang perlu saya berikan kepada syarikat insurans saya apabila membuat penamaan?
    •  
      Apabila anda membuat penamaan, anda dikehendaki sekurang- kurangnya memberitahu syarikat insurans nama, tarikh lahir, nombor kad pengenalan atau nombor sijil kelahiran dan alamat penama anda. Anda boleh berbuat demikian dengan mengisi borang penamaan yang disediakan oleh syarikat insurans.
       

    Saya inginkan ibu saudara saya menerima wang polisi insurans saya. Bagaimanakah saya memastikan bahawa wang polisi itu akan sampai kepadanya secara benefisial?
    •  
      Anda boleh menyerahkan hak polisi anda kepada ibu saudara anda. Walau bagaimanapun, apabila polisi diserah hak, anda akan kehilangan kawalan ke atas polisi tersebut, dan perlu mendapatkan kebenaran ibu saudara anda untuk membuat sebarang perubahan terhadap polisi itu. Anda mungkin ingin merujuk kepada syarikat insurans anda untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang penyerahan hak polisi insurans.
       
    Perlukah saya memberitahu penama-penama saya bahawa mereka telah dilantik sebagai penama?
    •  
      Ya, adalah mustahak memberitahu penama-penama anda bahawa mereka telah dilantik sebagai penama. Anda juga perlu memaklumkan kepada mereka tempat di mana polisi anda disimpan dan sentiasa memberitahu mereka tentang sebarang perubahan terkini tentang polisi. Pastikan syarikat insurans anda juga dimaklumkan tentang maklumat relevan yang terkini tentang penama-penama anda.
       
    Perlukah saya melantik lebih daripada seorang penama?
    •  
      Ya, melantik lebih daripada seorang penama adalah langkah yang bijak dan ini akan mengelakkan daripada situasi di mana polisi tidak mempunyai penama berikutan kematian pemegang polisi dan juga kematian penama tunggal.
       

    Siapakah yang patut saya namakan sebagai pemegang amanah? Bolehkah saya, selaku pemegang polisi, menamakan diri saya sebagai pemegang amanah?
    •  
      Ya, anda boleh menamakan diri anda sendiri atau sesiapa yang anda percayai sebagai pemegang amanah. Walau bagaimanapun, adalah lebih sesuai menamakan orang lain daripada menamakan diri anda sendiri. Ini untuk memastikan supaya sekiranya anda meninggal dunia atau mengalami ketidakupayaan, ada orang lain boleh menguruskan hal-ehwal yang melibatkan polisi anda. Sekiranya anda ingin menamakan diri anda sendiri, adalah lebih elok sekiranya anda juga melantik pemegang amanah tambahan.
       

    Saya telah berkahwin dan telah menamakan isteri saya sebagai penama tunggal bagi polisi insurans saya. Kini saya hendak membatalkan penamaan tersebut dan melantik ibu bapa saya sebagai penama. Bolehkah saya berbuat demikian?
    •  
      Apabila anda menamakan isteri anda sebagai penama, suatu amanah telah diwujudkan. Jika anda ingin membatalkan penamaan tersebut, anda perlu mendapatkan persetujuan bertulis daripada pemegang amanah itu. Sebaik sahaja persetujuan bertulis diperoleh, anda boleh melantik ibu bapa anda tetapi suatu amanah tidak lagi wujud berhubung dengan bahagian ibu bapa anda. Justeru, ibu bapa anda akan hanya menerima wang polisi sebagai wasi dan bukan secara benefisial. Jika anda ingin memastikan ibu bapa anda menerima wang polisi secara benefisial, anda boleh menyerahkan hak polisi itu kepada ibu bapa anda, dengan persetujuan pemegang amanah. Anda mungkin ingin merujuk kepada syarikat insurans anda untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang penyerahan hak polisi insurans.
       
    Saya seorang pemegang polisi beragama Islam. Perlukah saya membuat penamaan?
    •  
      Ya, pemegang polisi beragama Islam masih boleh membuat penamaan bagi memastikan wang polisinya diagihkan dengan lebih cepat. Penama bagi pemegang polisi insurans yang beragama Islam menerima wang polisi hanya sebagai wasi dan pengagihan mestilah dibuat berdasarkan undang-undang Islam.

      Sekiranya tiada penamaan, wang polisi akan diserahkan kepada Pemegang Amanah Raya dan pengagihan akan memakan masa.
       
 
 
 
Maklumat Berkaitan
 

Membuat penamaan
 
Saya Mahu...

Emel laman ini kepada kawan

Tanda pilih laman ini

Hantar maklum balas mengenai laman ini