Jawapan yang anda cari-cari mungkin terdapat di dalam senarai soalan lazim kami.
Hanya klik topik yang berkenaan daripada senarai di bawah:
 
Soalan Lazim Matawang Malaysia
 
    Di manakah BNM mencetak wang kertas?
    •  
      Bergantung kepada denominasi yang terlibat, wang kertas Malaysia dicetak kedua-duanya di Malaysia dan di luar negara oleh pencetak wang kertas yang berwibawa.
       
    Apakah tujuan mengeluarkan duit syiling dan wang kertas kenang-kenangan?
    •  
      BNM mengeluarkan duit syiling dan wang kertas kenang-kenangan untuk memperingati peristiwa penting di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ia juga dikeluarkan untuk menggalakkan hobi mengumpul wang kertas dan duit syiling.
       
    Mengapakah BNM memperkenalkan semula wang kertas RM1?
    •  
      Wang kertas RM1 siri terbaru diperkenalkan semula untuk edaran disebabkan oleh permintaan orang awam. Wang kertas RM1 juga didapati senang dibawa ke mana-mana berbanding duit syiling RM1 yang terasa berat dalam jumlah yang banyak dan mudah pudar pula.
       
    Bolehkah peniaga menolak duit-duit 1 sen atau 5 sen sebagai bayaran bagi barangan dan perkhidmatan?
    •  
      Menurut Seksyen 24, Akta Bank Negara Malaysia 1958 duit syiling 1 sen, 5 sen, 10 sen dan 20 sen boleh digunakan untuk membuat pembayaran sehingga jumlah RM2. Duit syiling RM1 dan 50 sen boleh digunakan untuk membuat pembayaran sehingga RM10.
       
       
    Apa yang saya perlu buat jika saya mendapat wang palsu?
    •  

      Lengahkan pemergian orang yang anda syaki memberi wang palsu itu kepada anda dan perhatikan rupa mereka serta catatkan nombor pendaftaran kenderaan mereka jika ada.
         
      Jangan gunting, edarkan semula atau tulis di atas wang palsu.
         

      Catatkan pada kertas berasingan maklumat-maklumat berkenaan wang palsu tersebut seperti bagaimana anda mendapat wang tersebut serta di mana dan bila anda menerimanya.
         

      Bawa wang palsu itu ke balai polis berhampiran dan buat laporan dengan segera
       
    Bagaimanakah caranya untuk membezakan wang kertas tulen dan palsu?
    •  
      Terdapat beberapa ciri-ciri keselamatan utama yang boleh dikenal pasti seperti berikut :
       

      Mutu Kertas
        Wang kertas Malaysia dihasilkan daripada kertas yang bermutu tinggi yang diperbuat daripada kapas. Apabila disentuh, wang kertas terasa kesat sedikit dan apabila diramas, hasilnya ialah bunyi kerangupan yang unik.
         
      Potret Tanda Bayang
        Terdapat potret tanda bayang Yang di-Pertuan Agong Pertama yang bercorak 3 dimensi dalam keadaan lembut dan berbayang, tanpa garisan luar yang nyata.
         
      Benang Keselamatan
        Wang kertas tulen ditenun dengan benang keselamatan.
         
      Cetakan Intaglio / Rasa Kertas
        Imej yang tercetak mudah dikenali oleh orang awam. Ia memberikan kesan kerangupan yang unik, tidak liut, terasa lilin atau berkilau. Sesetengah huruf terasa kesat bila disentuh.
       
    Bolehkah saya memperolehi wang gantian sekiranya saya menerima wang kertas palsu?
    •  
      Tidak. Ini adalah kerana wang kertas palsu tidak mempunyai sebarang nilai.
       
    Mengapakah BNM menarik balik wang kertas RM500 dan RM1000 dari edaran?
    •  
      Keputusan BNM menarik balik dari edaran dan status sah laku bagi wang kertas denominasi RM500 dan RM1000 adalah untuk melengkapkan peraturan kawalan pertukaran wang yang diperkenalkan pada tahun 1998.
       

    Bolehkah wang kertas RM500 dan RM1000 ditukar ke denominasi yang lebih kecil?
    •  
      Ya. Wang kertas RM500 dan RM1000 masih lagi boleh ditukar ke denominasi yang lebih kecil di mana-mana cawangan BNM.
       

    Adakah denda akan dikenakan kerana membuat penyalinan atau pengeluaran semula mata wang Malaysia tanpa kebenaran BNM?
    •  
      Ya. Penyalinan atau pengeluaran semula mata wang kertas dan duit syiling Malaysia tanpa kebenaran BNM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.
       
    Di manakah wang kertas cacat boleh ditukarkan?
    •  
      Mata wang Malaysia yang cacat boleh ditukar di BNM Kuala Lumpur dan di lima cawangan BNM, iaitu, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.
       
    Bolehkah saya menukar wang kertas dan duit syiling baru di cawangan BNM?
    •  
      BNM telah memberhentikan perkhidmatan penukaran wang kertas dan duit syiling baru semenjak tahun 1997. Wang kertas dan duit syiling yang baru boleh ditukar di bank-bank perdagangan.
       
    Bolehkah saya menukar wang kertas asing di BNM?
    •  
      Tidak. Anda boleh menukar mata wang asing di mana-mana bank perdagangan atau pengurup mata wang berlesen.
       
 
 
 
Maklumat Berkaitan
 

Matawang Malaysia
 
Saya Mahu...

Emel laman ini kepada kawan

Tanda pilih laman ini

Hantar maklum balas mengenai laman ini