 |
Bank Negara Malaysia diketuai sembilan ahli Lembaga Pengarah. Ahli ex-officio Lembaga ini termasuk Gabenor, Timbalan Gabenor dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Gabenor merupakan pengerusi Lembaga Pengarah dan Lembaga Pengarah ini dikehendaki bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.
Peranan dan tanggungjawab Bank Negara Malaysia sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa. Kini, Bank Negara Malaysia memberi tumpuan kepada 3 tunggak peranan utama bank pusat ini, iaitu kestabilan monetari, kestabilan kewangan dan sistem pembayaran. Di samping itu, Bank Negara Malaysia juga memainkan peranan yang penting dari segi pembangunan pengurusan ekonomi, pembinaan institusi dan sistem kewangan.
Bank Negara Malaysia juga bertanggungjawab menganjurkan pelbagai program pendidikan pengguna, terutamanya dalam bidang perbankan dan insurans bagi meningkatkan keupayaan kewangan masyarakat umum. Terdapat juga program pendidikan yang direka khas untuk golongan remaja, wanita, dan syarikat ditawarkan. |
|