Semua Kategori
AIDS peringkat teruk
Manifestasi klinikal AIDS (Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit) mesti disokong dengan keputusan positif ujian antibodi HIV (Virus Kurang Daya Tahan Penyakit) dan ujian pengesahan Western Blot. Selain itu, Hayat Yang Diinsuranskan juga mesti mempunyai kiraan sel CD4 yang kurang daripada dua ratus (200) serta memenuhi satu atau lebih daripada kriteria berikut :-
  1. Kehilangan berat badan lebih daripada 10% daripada berat badan dalam tempoh enam (6) bulan atau kurang (sindrom susut badan);
  2. Sarkoma Kaposi;
  3. Pneumonia Carinii Pneumosistis
  4. Leukoensefalopati Multifokal yang Semakin Melarat;
  5. Tuberkulosis Aktif;
  6. Limfosit kurang daripada satu ribu (1000)
  7. Limfoma Malignan
Akitiviti kehidupan harian
  1. Berpindah : Duduk dan bangun dari kerusi tanpa memerlukan bantuan fizikal.
  2. Bergerak : Keupayaan untuk bergerak dari bilik ke bilik tanpa memerlukan sebarang bantuan fizikal.
  3. Buang Air/Penggunaan Tandas : Keupayaan untuk mengawal fungsi buang air besar dan buang air kecil demi menjaga kebersihan diri.
  4. Berpakaian : Memakai dan menanggalkan semua pakaian yang perlu tanpa memerlukan bantuan orang lain.
  5. Mandi/Membersih Diri : Keupayaan untuk membersih diri di dalam tempat mandi (termasuklah masuk atau keluar dari tempat mandi) atau membersih diri dengan sebarang cara lain.
  6. Makan : Semua tugas memasukkan makanan ke dalam badan setelah ia disediakan.
Anemia aplastik kronik
Kegagalan sumsum tulang yang berlarutan dan tidak boleh pulih yang mengakibatkan anemia, neutropenia dan trombositopenia yang memerlukan rawatan dengan sekurang-kurangnya 2 daripada yang berikut:
  1. Transfusi produk darah yang tetap;
  2. Agen perangsang sumsum;
  3. Agen imunosupresif; atau
  4. Pemindahan sumsum tulang
Diagnosis mestilah disahkan oleh biopsi sumsum tulang.
Angioplasti dan rawatan pembedahan lain untuk penyakit arteri koronari utama
Bermaksud menjalani pembedahan Angioplasti Belon Arteri Koronari buat pertama kali, arterektomi, rawatan laser atau memasukkan sten (besi gegelung) untuk memperluaskan semula satu atau lebih arteri koronari yang sempit atau tersumbat seperti yang ditunjukkan oleh bukti angiografi. Prosedur penyiasatan intraarteri tidak termasuk dalam takrif ini. Pembayaran di bawah fasal ini adalah terhad kepada 10% daripada amaun perlindungan Penyakit Kritikal di bawah polisi ini, tertakluk kepada jumlah maksimum RM25,000. Faedah ini dibayar sekali sahaja dan akan ditolak daripada amaun Kontrak ini, dengan itu mengurangkan amaun Bayaran Sekali Gus yang akan dibayar kelak.
Anuiti
Suatu kontrak yang memperuntukkan pendapatan berkala bagi sesuatu tempoh, bergantung kepada jangka hayat seseorang.
Bayaran bersama
Suatu peruntukan dalam polisi perubatan dan kesihatan yang memerlukan pemegang polisi menanggung perbezaan kos bilik tersebut serta sebahagian (biasanya 10%-20%) daripada manfaat lain yang dinyatakan di dalam kontrak polisi sekiranya kadar yang dikenakan oleh pihak hospital lebih tinggi daripada kelayakannya.
Bonus
Faedah tambahan yang diperuntukkan kepada pemegang polisi sertaan akibat pulangan yang baik bagi dana insurans hayat.
Broker insurans
Seseorang yang mewakili pelanggan dalam urusan, rundingan atau pengambilan sesuatu kontrak insurans. Ia juga mungkin memberi pekhidmatan tambahan yang berkaitan semasa menjalankan tugasnya.
Caruman
Ansuran caruman takaful yang dibayar sekali atau secara berkala kepada pengendali takaful bagi penyertaanya  dalam satu skim takaful.
Deduktibel
Sebahagian kerugian yang perlu ditanggung oleh pemegang polisi sebelum layak membuat tuntutan dari syarikat insurans. Juga dikenali sebagai ekses.
Diskaun tanpa tuntutan
Skim ganjaran kepada pemegang polisi sekiranya tiada tuntutan dibuat terhadap polisi dalam tempoh 12 bulan sebelum itu. Kadar yang berlainan dikenakan bagi kelas kenderaan yang berlainan.  Bagi kenderaan persendirian, skala diskaun tanpa tuntutan adalah di antara 25% sehingga 55% seperti yang dinyatakan di dalam polisi insurans kenderaan.
Distrofi otot
Diagnosis distrofi otot memerlukan pengesahan oleh pakar neurologi mengenai gabungan 3 daripada 4 keadaan berikut :-
  1. Sejarah keluarga yang menunjukkan ada ahli keluarga lain yang menghidap penyakit ini
  2. Kewujudan klinikal termasuk ketiadaan ganggguan deria, cecair serebrospina yang normal dan pengurangan refleks tendon yang ringan
  3. Elektromiogram berciri
  4. Keraguan klinikal yang disahkan oleh biopsi otot
Faedah tidak akan dibayar di bawah Kejadian Yang Dilindungi sebelum Hayat Yang Diinsuranskan mencapai umur 12 tahun hari lahir berikut.
Dividen
Wang yang diberi kepada pemegang polisi berdasarkan penghasilan dan lebihan kewangan syarikat insurans.
Ejen
Seseorang yang mengurus niaga, merunding atau memasuki kontrak insurans bagi pihak syarikat insurans.
Ekses
Sila rujuk makna deduktibel.
Ensefalitis
Ditakrifkan sebagai radang teruk bahan otak yang mengakibatkan defisit neurologikal kekal yang berlanjutan bagi tempoh minimum 30 hari dan disahkan oleh pakar neurologi. Defisit neurologikal kekal ini mestilah mengakibatkan ketidakupayaan untuk melakukan sekurang-kurangnya tiga (3) Aktiviti Kehidupan Harian.
Ensefalitis akibat daripada jangkitan HIV tidak termasuk dalam takrif ini.
Fasal boleh tanding
Fasal dalam polisi insurans hayat yang memberi peruntukan setelah polisi tersebut telah berkuat kuasa  untuk sesuatu tempoh masa (biasanya satu atau dua tahun), syarikat insurans  tidak boleh mempertikai lagi kenyataan yang terdapat dalam borang permohonan insurans kecuali jika ia membuktikan  penipuan telah berlaku.
Harta hak milik strata
Hartanah seperti pangsapuri, kondominium atau rumah pangsa.
Hepatitis virus fulminan
Penyakit ini ditakrifkan sebagai nekrosis hati submasif hingga masif yang disebabkan oleh sebarang virus yang secara mendadaknya membawa kepada kegagalan hati. Kriteria diagnostik yang perlu dipenuhi ialah :-
  1. Saiz hati yang menguncup dengan cepat seperti yang disahkan oleh ultrabunyi abdomen;
  2. Nekrosis yang melibatkan keseluruhan lobul, hanya meninggalkan rangka retikulum yang runtuh;
  3. Ujian fungsi hati yang menunjukkan kerosakan yang cepat; dan
  4. Penyakit kuning yang semakin teruk.
Jangkitan Hepatitis B atau status pembawa sahaja tidak memenuhi kriteria diagnostik ini.
Hilang pertuturan
Hilang keupayaan menyeluruh dan tidak boleh pulih untuk bercakap bagi tempoh berterusan 12 bulan. Bukti perubatan yang mengesahkan kecederaan atau penyakit pita suara yang menyokong hilang upaya ini mesti diberikan oleh pakar Telinga, Hidung dan Tekak. Semua sebab berkaitan psikiatrik tidak termasuk dalam takrif ini.
Hilang upaya
Suatu keadaan yang menjejas sedikit sebanyak keupayaan seseorang untuk menjalankan urusan harian. Hilang upaya boleh merupakan separa atau keseluruhan dan  sementara atau tetap.
Hipertensi arteri pulmonari primer
Bermaksud Hipertensi Arteri Pulmonari Primer dengan pembesaran ventrikular kanan yang ketara yang dibuktikan melalui penyiasatan termasuk pengkateteran jantung, mengakibatkan kerosakan fizikal kekal ke tahap sekurang-kurangnya Kelas III klasifikasi kerosakan jantung Persatuan Jantung New York (NYHA). Hipertensi arteri pulmonari akibat daripada sebab-sebab lain tidak termasuk dalam faedah ini. Klasifikasi Kerosakan Jantung NYHA bagi Kelas III dan Kelas IV bermaksud yang berikut:-
  • Kelas III: Aktiviti fizikal yang nyata terhad. Selesa apabila berehat tetapi aktiviti yang kurang daripada biasa juga boleh menyebabkan timbulnya gejala.
  • Kelas IV: Tidak dapat bergiat dalam sebarang aktiviti fizikal tanpa rasa tidak selesa. Gejala mungkin timbul meskipun ketika berehat.
HIV akibat transfusi darah
Jangkitan oleh Virus Kurang Daya Tahan Penyakit (HIV) menerusi transfusi darah dengan syarat semua syarat berikut dipenuhi:
  1. Transfusi darah tersebut perlu dari segi perubatan atau diberi sebagai sebahagian daripada rawatan perubatan;
  2. (b) Transfusi darah itu diterima di Malaysia atau Singapura selepas polisi mula berkuat kuasa;
  3. Punca jangkitan dikenal pasti datangnya daripada Institusi yang melakukan transfusi darah itu dan institusi itu dapat mengesan punca darah yang dicemari HIV itu;
  4. Orang Yang Diinsuranskan tidak menderita daripada Hemofilia; dan
  5. Orang Yang Diinsuranskan bukannya ahli mana-mana kumpulan berisiko tinggi seperti, tetapi tidak terhad kepada, pengguna dadah melalui suntikan.
Indemniti
Meletakkan si penuntut kepada kedudukan kewangan yang sama sejurus sebelum kerugian berlaku melalui bayaran, pembaikan atau penggantian.
Insurans berganda
Mempunyai perlindungan daripada dua atau lebih polisi perlindungan bertindih bagi beberapa risiko yang sama.
Insurans berkaitan pelaburan
Insurans hayat yang nilai polisi berubah-ubah mengikut nilai aset dasar pada waktu berkenaan.
Insurans bertempoh
Insurans yang membayar sejumlah wang hanya sewaktu kematian berlaku dalam tempoh yang ditetapkan.
Insurans bertempoh gadai janji berkurangan
Polisi insurans yang melindungi bayaran balik pinjaman tertunggak dengan institusi perbankan apabila peminjam meninggal dunia lebih awal, hilang upaya atau sakit kritikal.
Insurans endowmen
Insurans yang membayar sejumlah wang apabila berlaku kematian atau sewaktu mencapai tarikh cukup tempoh sebagaimana dinyatakan dalam polisi.
Insurans hayat
Sesuatu perjanjian yang menjamin pembayaran sesuatu manfaat kewangan orang yang diinsuranskan kerana kematian atau di bawah keadaan yang ditetapkan dalam kontrak.
Insurans hayat kumpulan
Insurans yang melindungi sekumpulan orang di bawah satu polisi induk. Polisi ini umumnya dikeluarkan tanpa memerlukan pemeriksaan perubatan ke atas tempoh hayat orang yang diinsuranskan. Ia biasanya ditawarkan kepada majikan bagi manfaat para pekerjanya atau kepada ahli sesebuah persatuan.
Insurans hayat seumur hidup
Insurans yang membayar sejumlah wang pada bila-bila masa apabila berlaku kematian menurut syarat polisi insurans tersebut.
Insurans perubatan dan kesihatan
Insurans yang memperuntukkan pembayaran faedah khusus untuk membiayai perbelanjaan perubatan yang dikenakan atau risiko seseorang menjadi hilang upaya sama ada separa atau sepenuhnya atau dimasukkan ke hospital  berikutan penyakit yang dihadapi atau keuzuran.
Jangkitan virus kurang daya tahan penyakit (HIV) disebabkan pekerjaan
Jangkitan Virus Kurang Daya Tahan Penyakit (hanya sekiranya Hayat Yang Diinsuranskan merupakan Kakitangan Perubatan seperti yang ditakrifkan di bawah), di mana ia dijangkiti akibat kemalangan yang berlaku semasa menjalankan tugas pekerjaan yang biasa dengan serokonversi kepada jangkitan HIV yang berlaku dalam tempoh enam (6) bulan dari kemalangan. Sebarang kemalangan yang berpotensi menimbulkan tuntutan mestilah dilaporkan kepada Syarikat dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari berlakunya kemalangan dengan disokong oleh ujian HIV yang negatif yang diambil dalam tempoh tujuh (7) hari dari kemalangan itu. “Kakitangan Perubatan” ditakrifkan sebagai Doktor (Pakar Perubatan Umum dan Doktor Pakar), jururawat, juruteknik makmal, doktor gigi (pakar bedah dan jururawat), pekerja ambulans yang bekerja di pusat perubatan atau hospital atau klinik/poliklinik pergigian di Malaysia. Jangkitan dengan mana-mana cara lain termasuk akibat aktiviti seks, transfusi darah atau penggunaan dadah rekreasi melalui suntikan tidak termasuk dalam takrif ini.
Kadar pro-rata
Kadar yang dikenakan kurang daripada tempoh tertentu. Contohnya, sekiranya seseorang yang diinsuranskan perlu perlindungan bagi suku tahun, maka premium yang dikenakan ke atas beliau adalah suku daripada premium tahunan.
Kadar tarif
Suatu kadar yang telah ditetapkan oleh organisasi penarafan yang dihasilkan melalui jadual dan peraturan tarif. Bagi produk yang berkadar tarif, semua pemegang polisi akan membayar premium standard, sekiranya tiada premium tambahan dikenakan.
Kanser
Sebarang tumor malignan yang didiagnosis secara positif dengan pengesahan histologi dan dicirikan oleh pertumbuhan tidak terkawal sel-sel malignan dan penyerangan tisu. Istilah tumor malignan termasuklah leukemia, limfoma dan sarkoma. Takrif di atas tidak termasuk yang berikut:
  1. Semua kanser yang secara histologinya diklasifikasikan sebagai pramalignan, tidak menyerang; karsinoma in situ; sama ada mempunyai risiko hampir malignan atau mempunyai potensi malignan yang rendah
  2. Semua tumor prostat, tiroid dan pundi kencing yang secara histologinya diklasifikasikan sebagai T1N0M0 (klasifikasi TNM)
  3. Leukemia Limfositik Kronik yang kurang daripada RAI Tahap 3
  4. Semua kanser akibat daripada HIV
  5. Sebarang kanser kulit selain daripada melanoma malignan
Kardiomiopathi teruk
Kerosakan fungsi otot jantung, didiagnosis dengan jelas tanpa ragu sebagai Kardiomiopati oleh pakar kardiologi, serta mengakibatkan kerosakan fizikal kekal ke tahap sekurang-kurangnya Kelas III klasifikasi kerosakan jantung Persatuan Jantung New York. Diagnosis ini hendaklah disokong oleh penemuan ekokardiografi mengenai prestasi ventrikular berkompromi. Klasifikasi Kerosakan Jantung NYHA bagi Kelas III dan Kelas IV bermaksud yang berikut:-
  • Kelas III: Aktiviti fizikal yang nyata terhad. Selesa apabila berehat tetapi aktiviti yang kurang daripada biasa juga boleh menyebabkan timbulnya gejala.
  • Kelas IV: Tidak dapat bergiat dalam sebarang aktiviti fizikal tanpa rasa tidak selesa. Gejala mungkin timbul walaupun ketika berehat.
  • Kardiomiopathi yang berkaitan secara langsung dengan penyalahgunaan alkohol atau dadah tidak termasuk dalam takrif ini.
Kebutaan/ hilang penglihatan menyeluruh
Hilang penglihatan menyeluruh dan tidak boleh pulih kedua-dua belah mata akibat penyakit atau kemalangan. Kebutaan ini mestilah disahkan oleh pakar oftalmologi.
Kegagalan buah pinggang tahap akhir
Kegagalan buah pinggang tahap akhir merupakan kegagalan kronik dan tidak boleh pulih kedua-dua buah pinggang untuk berfungsi dan mengakibatkan rawatan dialisis buah pinggang yang tetap dimulakan atau pembedahan pemindahan buah pinggang dijalankan.
Kegagalan hati tahap akhir
Kegagalan hati tahap akhir seperti yang dibuktikan oleh semua yang berikut berikut:-
  • Penyakit kuning kekal
  • Asites; dan
  • Ensefalopati hepatik
  • Kegagalan hati sekunder yang disebabkan oleh penyalahgunaan alkohol atau dadah tidak termasuk dalam takrif ini.
Kehilangan upaya hidup sendiri (berdikari)
Pengesahan oleh doktor pakar yang sewajarnya tentang kehilangan upaya hidup sendiri yang berlanjutan bagi tempoh berturut-turut sekurang-kurangnya 6 bulan dan mengakibatkan ketidakupayaan kekal untuk melakukan sekurang-kurangnya tiga (3) daripada Aktiviti Kehidupan Harian.
Kelumpuhan/ paraplegia
Hilang penggunaan sepenuhnya dan kekal kedua-dua belah tangan atau kedua-dua belah kaki, atau sebelah tangan dan sebelah kaki, melalui kelumpuhan yang disebabkan oleh penyakit atau kecederaan yang berterusan selama sekurang-kurangnya enam (6) bulan dari tarikh trauma atau penyakit itu.
Kepekakan/ hilang pendengaran menyeluruh
Hilang pendengaran menyeluruh dan tidak boleh pulih kedua-dua belah telinga akibat penyakit atau kemalangan. Menyeluruh bermaksud “kehilangan sekurang-kurangnya 80 desibel dalam semua frekuensi pendengaran”. Bukti perubatan dalam bentuk ujian audiometri dan ujian nilai ambang bunyi mesti dikemukakan dan disahkan oleh doktor pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT).
Kepentingan boleh diinsurans
Merupakan salah satu asas prinsip insurans yang memerlukan pembeli insurans berkepentingan terhadap barang atau hayat yang diinsuranskan, di mana sesuatu kerosakan atau kehilangan kepada harta benda atau hayat yang diinsuranskan, akan mengakibatkan kerugian kewangan kepada pembeli tersebut.
Kerugian menyeluruh
Kerugian yang cukup besar sehingga boleh dianggap langsung tidak mempunyai nilai. 
Kewajipan membuat pendedahan
Contohnya “kewajipan pendedahan untuk semua fakta penting”, ini merujuk kepada kewajipan mendedahkan maklumat dalam borang permohonan insurans yang dikemukakan kepada syarikat insurans. Kegagalan tindakan sedemikian akan menyebabkan polisi insurans anda tidak sah.
Klausa purata
Klausa ini memperihalkan syarikat insurans hanya bertanggungjawab untuk kadar sebahagian kerugian yang bergantung pada jumlah nilai diinsuranskan kepada jumlah risiko.
Koma
Keadaan tidak sedar tanpa reaksi atau tindak balas kepada rangsangan luar atau keperluan dalaman yang berterusan selama sekurang-kurangnya 96 jam, memerlukan penggunaan sistem sokongan hidup dan mengakibatkan defisit neurologikal kekal yang berlanjutan lebih daripada 30 hari. Pengesahan oleh pakar neurologi mestilah dikemukakan. Koma yang diakibatkan secara langsung oleh kecederaan diri yang disengajakan, penyalahgunaan alkohol atau dadah tidak termasuk dalam takrif ini.
Komisen
Merupakan ganjaran yang dibayar kepada ejen oleh syarikat insurans bagi perkhidmatan yang diberikan.
Liabiliti kecederaan tubuh badan
Liabiliti bersabit dengan kecederaan fizikal atau kematian seseorang.
Lupus eritematosus sistemik dengan lupus nefritis [SLE]
Merujuk kepada gangguan autoimun pelbagai sistem yang dicirikan oleh penghasilan autoantibodi yang menyerang pelbagai antigen diri sendiri. Dalam konteks polisi ini, SLE terhad kepada jenis Lupus Eritematosus Sistemik yang melibatkan buah pinggang (Lupus Nefritis Jenis III hingga Jenis V yang dibuktikan melalui biopsi ginjal). Jenis lain seperti lupus diskoid dan jenis yang hanya melibatkan hematologi dan sendi tidak termasuk dalam takrif ini. Klasifikasi Lupus oleh WHO :-
  • Kelas I - Perubahan glomerulonefritis yang minimum
  • Kelas II - Glomerulonefritis mesangial
  • Kelas III - Glomerulonefritis segmen fokal
  • Kelas IV - Glomerulonefritis resap
  • Kelas V - Glomerulonefritis bermembran
Luput
Penamatan sesuatu polisi insurans hayat di akhir tempoh perlindungan insurans tersebut. 
Manfaat akibat kematian
Amaun yang akan dibayar dan dinyatakan dalam kontrak polisi akibat kematian seseorang yang diinsuranskan.
Manfaat hilang upaya
Manfaat yang dibayar kepada orang yang diinsuranskan akibat hilang upaya di bawah peruntukan polisi  pendapatan atau peruntukan yang termaktub dalam  polisi insurans lain seperti insurans hayat.
Manfaat untuk pembayar
Sesuatu rider atau peruntukan yang kebiasaannya termaktub dalam polisi insurans juvenil di mana, premium adalah dikecualikan apabila salah seorang yang membayar premium, iaitu ibu atau bapa menjadi hilang upaya atau mati semasa anak itu masih kecil.
Melecur teruk
Melecur kulit darjah ketiga (iaitu ketebalan penuh) yang meliputi sekurang-kurangnya dua puluh peratus (20%) bahagian permukaan badan keseluruhan.
Meningitis bakteria
Meningitis bakteria yang menyebabkan radang membran otak atau saraf tunjang yang mengakibatkan defisit neurogikal kekal yang berlanjutan bagi tempoh minimum 30 hari dan mengakibatkan ketidakupayaan kekal untuk melakukan sekurang-kurangnya tiga (3) Aktiviti Kehidupan Harian. Diagnosis ini hendaklah disahkan oleh:
  • doktor pakar yang sewajarnya
  • kewujudan jangkitan bakteria dalam cecair serebrospina oleh punktur lumbar
Nilai matang
Jumlah yang dibayar pada akhir tempoh endowmen kepada orang yang diinsuranskan yang masih hidup atau kepada empunya polisi insurans hayat seumur hidup yang telah hidup melebihi umur tertentu.
Nilai serahan
Amaun tunai yang dibayar apabila seseorang menamatkan polisi secara sukarela sebelum polisi insurans tersebut menjadi boleh dibayar sewaktu kematian atau pada waktu matang. Juga dikenali sebagai nilai tunai. 
Orang yang diinsuranskan
Seseorang yang dilindungi di bawah suatu polisi insurans hayat atau kesihatan.
Pampasan
Sejumlah wang yang diberi sebagai pembayaran atau pembaikan sepertimana ditentukan mengikut tuntutan yang dibuat pemegang polisi insurans yang berkaitan.
Pelaras kerugian
Seseorang yang menjalankan urusniaga berkaitan dengan siasatan tentang sebab-sebab dan keadaan sesuatu kerugian di samping menentukan jumlah kerugian.
Pembedahan aorta
Menjalani pembedahan secara torakotomi atau laparotomi untuk membaiki atau membetulkan aneurisme aorta, suatu penghalang pada aorta atau koarktasi aorta. Bagi tujuan takrif ini, aorta bermaksud aorta torasik dan aorta abdomen tetapi bukan cabang-cabangnya. Angioplasti dan semua intraarteri lain, teknik berasaskan kateter, prosedur lubang kunci (keyhole) atau laser tidak termasuk dalam takrif ini. .
Pembedahan injap jantung
Menjalani pembedahan jantung terbuka untuk menggantikan atau membaiki injap jantung akibat kecacatan atau keabnormalan injap jantung. Pembaikan melalui prosedur intraarteri, pembedahan lubang kunci atau teknik seumpamanya tidak termasuk dalam takrif ini.
Pembedahan otak
Menjalani pembedahan otak di bawah pembiusan am dan kraniotomi telah dijalankan semasa pembedahan ini. Yang berikut tidak termasuk dalam takrif ini:
  1. Prosedur Lubang Burr, prosedur transfenoidal dan prosedur pembedahan lain yang minimum.
  2. Pembedahan otak akibat kemalangan
Pembedahan pintasan arteri koronari
Merujuk kepada menjalani pembedahan dada terbuka untuk membetulkan atau merawat Penyakit Arteri Koronari (CAD) dengan cara Pembedahan Pintasan Arteri Koronari. Angioplasti dan semua intraarteri lain, teknik berasaskan kateter, prosedur lubang kunci (keyhole) atau laser tidak termasuk dalam takrif ini.
Pembelitan polisi (twisting)
Tindakan atau percubaan untuk memujuk seorang pemegang polisi supaya menukar perlindungan sedia ada dengan mengambil polisi dengan perlindungan yang baru. Pemegang polisi ini kebiasaannya akan berada dalam keadaan yang lebih buruk selepas penukaran polisi dilakukan.
Pemindahan organ utama/ sumsum tulang
Penerimaan pemindahan:
  • Sumsum tulang manusia menggunakan sel stem hematopoietik yang didahului oleh ablasi sumsum tulang menyeluruh; atau
  • Salah satu organ manusia yang berikut: jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, pankreas akibat daripada kegagalan tahap akhir organ berkenaan yang tidak boleh dipulihkan lagi.
  • Pemindahan sel stem lain tidak termasuk dalam takrif ini.
Penama
Orang yang dinamakan dalam polisi insurans hayat atau insurans kemalangan untuk menerima manfaat di bawah polisi berkenaan.
Penamaan
Tindakan menamakan seseorang sebagai penama sesuatu polisi insurans hayat atau kemalangan.
Penamatan
Penamatan suatu polisi insurans hayat pada tarikh akhir tempohnya.
Penambahbaikan
Suatu keadaan di mana barang yang diinsuranskan menjadi lebih baik selepas pembaikan atau penggantian (akibat kemalangan).
Pengecualian
Suatu peruntukan tidak memasukkan perlindungan bagi sesetengah kejadian, orang, harta benda atau lokasi.
Pengembalian semula polisi
Menghidupkan semula sesuatu polisi insurans yang telah luput dalam tempoh masa tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
Pengendali takaful
Sebuah syarikat yang dilesenkan di bawah Akta Takaful 1984 untuk menjalankan perniagaan takaful.
Pengunduran tarikh
Prosidur menjadikan tarikh kuat kuasa sesuatu polisi itu lebih awal daripada tarikh permohonan. Pengunduran tarikh sering digunakan untuk menjadikan umur semasa polisi insurans dikeluarkan lebih muda untuk pembayaran premium yang lebih rendah.
Penuh percaya mutlak
Salah satu prinsip asas insurans yang memerlukan pemegang polisi mendedahkan semua fakta penting kepada syarikat insurans  apabila membuat permohonan untuk membeli sesuatu polisi. Ini disebabkan syarikat insurans  mengambil risiko berasaskan kepada maklumat yang diberi oleh pemegang polisi dalam borang cadangan.
Penyakit Alzheimer/ gangguan kemerosotan otak organik tidak boleh pulih
Kemerosotan atau kehilangan daya intelektual atau tingkah laku yang tidak normal seperti yang dibuktikan oleh keadaan klinikal dan soal selidik terpiawai yang diterima atau ujian yang timbul daripada Penyakit Alzheimer atau gangguan kemerosotan otak organik yang tidak boleh dipulihkan yang mengakibatkan kemerosotan ketara pada fungsi mental dan sosial (sehinggakan pengawasan berterusan diperlukan). Diagnosis ini mestilah disahkan secara klinikal oleh pakar neurologi. Yang berikut tidak termasuk dalam takrif ini:
  • Gangguan otak bukan organik seperti neurosis dan penyakit jiwa dan
  • Kerosakan otak yang berkaitan dengan pengambilan dadah atau alkohol
Penyakit arteri koronari lain yang serius
Penyempitan lumen pada sekurang-kurangnya tiga arteri koronari utama (tidak termasuk cabang-cabangnya) sebanyak minimum 60 peratus atau lebih seperti yang dibuktikan oleh arteriografi koronari (tidak termasuk prosedur diagnostik tanpa pembedahan). Arteri Koronari di sini merujuk kepada Arteri Sirkumfleks, Arteri Koronari Kanan (RCA), Arteri Menurun Anterior Kiri (LAD), Stem Utama Kiri (penyempitan sebanyak 60% atau lebih Stem Utama Kiri akan dianggap sebagai penyempitan dua arteri utama). Faedah ini akan dibayar tanpa mengira sama ada sebarang bentuk pembedahan arteri koronari telah dijalankan.
Penyakit membawa maut
Diagnosis muktamad keadaan yang dijangka mengakibatkan kematian Hayat Yang Diinsuranskan dalam tempoh 12 bulan. Hayat Yang Diinsuranskan mestilah tidak lagi menerima rawatan aktif selain daripada untuk melegakan kesakitan. Diagnosis ini mestilah disokong oleh pengesahan bertulis daripada doktor pakar yang sewajarnya dan disahkan oleh doktor yang dilantik oleh Syarikat.
Penyakit neuron motor
Merujuk kepada kemerosotan trek kortikospina dan sel tanduk anterior atau neuron eferen bulbar yang semakin melarat. Ini termasuklah atrofi otot spina, palsi bulbar yang semakin melarat, sklerosis lateral amiotrofik dan sklerosis lateral primer. Diagnosis ini mestilah disahkan oleh pakar neurologi sebagai semakin melarat dan mengakibatkan defisit neurologikal kekal.
Penyakit Parkinson
Diagnosis Penyakit Parkinson yang jelas dan tanpa ragu oleh pakar neurologi di mana penyakit ini:-
  1. tidak boleh dikawal dengan pengambilan ubat
  2. menunjukkan tanda-tanda kelemahan yang semakin teruk
Penilaian aktiviti kehidupan harian mengesahkan ketidakupayaan Hayat Yang Diinsuranskan untuk melakukan tiga (3) atau lebih daripada Aktiviti Kehidupan Harian tanpa bantuan. Hanya Penyakit Parkinson idiopatik yang dilindungi. Penyakit Parkinson yang dicetuskan oleh dadah atau disebabkan oleh toksik tidak termasuk dalam takrif ini.
Penyakit paru-paru tahap akhir
Penyakit paru-paru tahap akhir yang menyebabkan kegagalan pernafasan kronik. Semua kriteria berikut mesti dipenuhi :-
  1. Memerlukan terapi oksigen kekal akibat daripada nilai ujian FEV1 yang konsisten yang kurang daripada satu liter. (Isipadu Ekspiratori Paksa dalam saat pertama penghembusan nafas paksa )
  2. Analisis Gas Darah Arteri Garis Dasar dengan tekanan oksigen separa sebanyak 55mmHg atau kurang
  3. Dispnea ketika berehat.
Penyakit sistik medulari
Penyakit buah pinggang keturunan yang semakin melarat yang dicirikan oleh kehadiran sista dalam medula, atrofi tubular dan fibrosis interstitial dengan manifestasi klinikal anemia, poliuria dan kehilangan natrium ginjal, semakin melarat kepada kegagalan ginjal kronik. Diagnosis hendaklah disokong oleh biopsi ginjal.
Penyerahan hak
Pemindahan hak milik kepunyaan dalam sesuatu polisi insurans hayat kepada satu pihak yang lain.
Perlindungan
Skop perlindungan yang diberi di bawah suatu polisi insurans.
Pinjaman polisi
Sesuatu pinjaman yang diberi oleh syarikat insurans kepada empunya polisi di mana keseluruhan atau sebahagian dari nilai tunai polisi diserahhak menjadi jaminan kepada pinjaman tersebut.
Pinjaman premium automatik
Sesuatu pinjaman yang diberi oleh syarikat insurans kepada pemegang polisi dengan menggunakan nilai tunai insurans hayat untuk membayar premium tertunggak pada akhir tempoh tangguh di bawah polisi yang sama.  Pinjaman ini adalah automatik sebagaimana yang dibenarkan di bawah salah satu peruntukan polisi insurans hayat.
Polisi
Dokumen mengandungi maklumat berkaitan dengan skop perlindungan, terma dan syarat serta pengecualian berkaitan dengan insurans. 
Polisi berbayar
Polisi di mana bayaran premium tidak lagi diperlukan tetapi polisi ini masih belum ditamatkan atas sebab kematian atau cukup tempoh.
Polisi berbayar terkurang
Apabila polisi anda telah mempunyai nilai tunai, anda boleh memilih untuk berhenti dari membayar premium. Namum, insurans anda masih laku (sah), cuma nilai diinsuranskan akan dikurangkan.
Polisi bukan sertaan
Sejenis polisi insurans atau annuiti di mana si empunya polisi tidak layak menerima dividen atau bonus.
Polisi sertaan
Suatu polisi di mana si empunya polisi berkongsi sebahagian daripada lebihan syarikat insurans hayat dalam bentuk bonus atau dividen.
Premium
Jumlah wang yang dibayar sekali atau berkala oleh empunya polisi kepada syarikat insurans untuk perkhidmatan perlindungan insurans yang disediakan.
Rider
Tambahan kepada sesuatu polisi insurans yang meminda syarat-syarat melalui perluasan faedah polisi insurans berkenaan.
Serahan
Perbuatan menyerahbalik polisi. Syarikat insurans akan bertindak membayar nilai serahan yang telah terkumpul di bawah polisi yang diserahbalik, jika ada.
Serangan jantung
Kematian sebahagian otot jantung (miokardium) akibat kekurangan bekalan darah dan dibuktikan oleh semua kriteria berikut : -
  1. Mengalami sakit dada tipikal yang berpanjangan,
  2. Perubahan baru dalam bacaan elektrokardiografi akibat serangan ini,
  3. Peningkatan paras enzim kardium, CPK-MB yang melebihi paras normal makmal yang biasanya diterima atau troponin direkodkan pada paras berikut atau lebih tinggi: -Troponin T > 1.0 ng/ml atau nilai ambang yang setara dengan kaedah Troponin I lain.
Angina tidak termasuk dalam takrif ini.
Skala manfaat
Merujuk kepada amaun pampasan yang boleh dibayar oleh syarikat insurans/ pengendali takaful. Apabila berlaku kecederaan atau kehilangan anggota tubuh badan, penglihatan atau pendengaran, perkara-perkara ini akan menetapkan bahagian pampasan yang layak bergantung kepada nilai kerugian yang dialami.
Sklerosis berbilang
Diagnosis yang jelas tanpa ragu oleh pakar neurologi yang mengesahkan gabungan berikut yang telah berlanjutan bagi tempoh berterusan sekurang-kurangnya enam (6) bulan :-
  1. Gejala yang boleh dirujuk kepada trek (jirim putih) yang melibatkan saraf optik, pangkal otak dan saraf tunjang yang menghasilkan defisit neurologikal yang ketara;
  2. Kepelbagaian lesi diskret; dan
  3. Sejarah eksaserbasi dan remisi gejala/defisit neurologikal tersebut yang telah didokumentasikan dengan rapi.
Strok
Ditakrifkan sebagai suatu kemalangan atau kejadian serebrovaskular yang menghasilkan sekuela neurologi bersifat kekal yang berlanjutan selama tidak kurang daripada tiga bulan. Takrif ini juga termasuk infarksi tisu otak, pendarahan dan embolisasi dari punca ekstrakranium. Diagnosis ini mestilah berdasarkan perubahan yang dilihat pada imbasan CT atau MRI dan disahkan oleh pakar neurologi. Dikecualikan secara khusus ialah gejala serebrum disebabkan serangan iskemik sementara, sebarang defisit iskemik neurologikal boleh sembuh, iskemia vertebrobasilar, gejala serebrum akibat migrain, kecederaan serebrum akibat trauma atau hipoksia, dan penyakit vaskular yang memberi kesan pada mata atau saraf optik atau fungsi vestibular.
Syarat-syarat pra-wujud
Suatu peruntukan polisi yang menetapkan bahawa keadaan atau penyakit yang seseorang alami sebelum membuat permohonan untuk polisi (biasanya polisi insurans perubatan dan kesihatan) akan dikecualikan daripada perlindungan insurans.
Syarikat insurans
Syarikat yang dilesenkan di bawah Akta Insurans 1996 bagi menjalankan perniagaan insurans hayat atau am atau kedua-duanya sekali.
Takdir
Suatu bencana alam yang terjadi bukan daripada perbuatan manusia atau tidak boleh dicegah. Contoh adalah  seperti banjir, kilat dan gempa bumi.
Tarikh matang
Tarikh di mana suatu insurans hayat telah cukup tempoh matang dan jumlah muka perlu dibayar, selalunya dengan syarat bahawa hayat orang yang diinsuranskan masih hidup sehingga tamat tempoh tersebut.
Tarikh penyertaan
Istilah ini dikenali juga sebagai ’tarikh berkuat kuasa”, iaitu tarikh sesuatu polisi insurans diluluskan.
Tempoh kelayakan/menunggu
Kebanyakkan polisi perubatan dan kesihatan mengandungi tempoh kelayakan, bererti kelayakan mendapat manfaat di bawah polisi akan hanya bermula 30 hari selepas tarikh berkuatkuasanya polisi.
Tempoh matang
Tempoh di mana apabila suatu polisi atau anuiti  mencapai tarikh matangnya.
Tempoh membuat keputusan (free look)
Satu tempoh masa, biasanya 15 hari di mana pemegang polisi boleh memeriksa polisi insurans hayat keluarga atau insurans kesihatan yang baru dikeluarkan dan memulangkannya kepada syarikat insurans untuk mendapatkan bayaran balik premium sepenuhnya. Ini dilaksanakan selepas ditolak perbelanjaan pentadbiran yang ditanggung bagi menjalankan pemeriksaan perubatan orang yang diinsuranskan apabila ia tidak berpuas hati dengan polisi /pelan berkenaan. 
Tempoh penangguhan
Satu tempoh tertentu, biasanya 30 hari dari tarikh pembayaran premium sewaktu kontrak insurans masih hidup meskipun premium insurans belum dibayar. Apabila premium masih belum dibayar dalam tempoh penangguhan, polisi insurans berkenaan akan luput atau akan tertakluk kepada polisi berbayar terkurang atau pinjaman premium automatik.
Terkurang insurans
Suatu keadaan di mana pemegang polisi membeli perlindungan insurans kurang daripada nilai pasaran sebenar untuk melindungi nilai harta benda.
Terlebih insurans
Suatu keadaan dimana seseorang pemegang polisi membeli perlindungan insurans melebihi nilai tunai sebenar atau kos penggantian sesuatu objek yang diinsuranskan.
Tidak boleh tanding
Syarikat insurans/pengendali takaful  tidak boleh mempertikai kesahihan polisi yang telah berkuat kuasa selama dua tahun. Sekiranya syarikat insurans/pengendali takaful enggan membayar tuntutan, ia mestilah membuktikan bahawa polisi berkenaan telah diperolehi melalui penipuan.
Trauma kepala utama
Kecederaan fizikal di kepala yang menyebabkan kerosakan fungsi kekal yang berlanjutan bagi tempoh minimum tiga (3) bulan dari tarikh trauma atau kecederaan itu. Kesan daripada kerosakan fungsi kekal ini hendaklah disahkan oleh pakar neurologi dan mestilah mengakibatkan ketidakupayaan untuk melakukan sekurang-kurangnya tiga (3) Aktiviti Kehidupan Harian .
Tumor otak benigna
Tumor bukan kanser di dalam otak yang boleh mengancam nyawa atau meninges di dalam kranium yang menimbulkan tanda-tanda tipikal peningkatan tekanan intrakranium seperti papiloedema, gejala mental, serangan sawan dan gangguan deria. Kehadiran tumor ini mesti disahkan oleh kajian pengimejan seperti imbasan CT atau MRI. Yang berikut tidak termasuk dalam takrif ini:
  1. Sista
  2. Granuloma
  3. Malformasi di dalam atau pada arteri atau vena otak
  4. Hematoma
  5. Tumor di dalam kelenjar pituitari atau spina
  6. Tumor saraf akustik
Tuntutan
Pemberitahuan kepada syarikat insurans bahawa pembayaran sejumlah wang seharusnya dibuat menurut terma polisi insurans.